ADUN Kota Siputeh kekal - Utusan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memutuskan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak dihadiri oleh ADUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif pada 19 April dan 9 Ogos lalu bukan dua mesyuarat berturut-turut di dalam satu penggal persidangan dalam erti kata Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.

Sebaliknya, ia adalah dua mesyuarat berturut-turut untuk dua penggal yang berbeza dengan tempoh masa antara kedua-duanya selama tiga bulan 20 hari.

Perkara itu diputuskan oleh mesyuarat khas SPR setelah meneliti dokumen dan fakta yang dikemukakan kepadanya menerusi kuasa yang diperuntukkan di bawah Fasal (5) Perkara 53 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, dengan ini SPR memutuskan bahawa kerusi N.3 Kota Siputeh masih disandang oleh Abu Hasan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac tahun lalu.

''Surat cuti sakit (MC) yang dikemukakan oleh Abu Hasan pula diterima oleh SPR sebagai penjelasan mengenai ketidakhadirannya dalam mesyuarat Dewan pada 9 Ogos 2009.

''SPR juga mendapati bahawa kegagalan ADUN Kota Siputeh itu menghantar surat MC kepada Speaker (DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail) lebih awal (selewat-lewatnya pada 9 Ogos 2009) tidak menjadikan surat MC itu terbatal.

''SPR berpendapat bahawa sebelum Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah digunakan (mana-mana ADUN tidak hadir dua kali mesyuarat berturut-turut hendaklah mengosongkan kerusinya), ia hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

Namun tiada rujukan oleh Speaker mahupun ADUN Kota Siputeh diterima SPR mengenai perkara ini," kata beliau.

Kemelut kerusi Kota Siputeh timbul apabila Abdul Isa mahu Abu Hasan mengosongkan kerusinya berikutan kegagalannya hadir dua kali berturut-turut mesyuarat DUN pada 9 April dan 9 Ogos lalu tanpa kebenaran.

Speaker itu menegaskan, Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah jelas membuktikan Abu Hasan telah melanggar peraturan tersebut dan beliau tegas tiada ruang budi bicara dalam hal ini.

Abdul Aziz berkata, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan mempunyai kuasa yang diperuntukkan di bawah Peraturan 78 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah untuk menimbangkan kuasa-kuasa, hak dan kebebasan Dewan.

Kata beliau, kuasa Speaker untuk memberikan kebenaran kepada ADUN tidak hadir dalam mesyuarat Dewan kerana sakit merupakan satu daripada perkara yang terangkum dalam kuasa, hak dan kebebasan Dewan.

''Oleh sebab tidak terdapat mana-mana peruntukan dalam undang-undang dan Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan, maka isu berhubung dengan ketidakhadiran ADUN kerana cuti sakit wajar dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan bagi menjelaskan sama ada alasan sakit yang diberi setelah Dewan bersidang boleh diterima oleh Speaker.

''Maka SPR berpendapat bahawa Peraturan 78 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah telah tidak dirujuk langsung bagi membantu SPR dalam memutuskan dan menghilangkan apa-apa keraguan di pihak SPR berhubung dengan isu yang dinyatakan dalam perenggan 12," kata beliau.
Apa kata anakmuda?
Baguihla... Jimat duit.. Ble bagi bonus kat kakitangan awam... dari membazir dok kempen sana sini... selain rakyat juga perlu perhatian, ni calon ja duk tarik perhatian suh undi parti itu, ini... Buat YB yang len tew, sakit, bagila MC awai2.... sian speaker... tertunggu-tunggu..hahahha!!!

Post a Comment