Video Pengumuman Calon BN DUN Tenang

Penolong Pegawai Daerah Rengit, Mohd Azahar Ibrahim, 37, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 30 Januari ini.

Pengumuman dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebentar tadi.

Azhar adalah anak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Ibrahim Daud.

Ahad lalu, PAS mengumumkan Ketua Dewan Muslimat Labis, Normala Sudirman, dipilih sebagai calon pakatan pembangkang.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah pada Sabtu ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Sulaiman Taha, daripada BN pada 17 Disember lalu akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.

Seramai 14,753 pengundi yang melibat 14,735 pengundi biasa dan 18 pengundi pos, layak memilih ADUN Tenang.

Seramai 5,635 pengundi Cina di Tenang dilihat menjadi kunci untuk mengurangkan majoriti BN sekiranya ia dapat mempertahankan kerusi tersebut dalam pilihan raya kecil 30 Januari depan.

Pengundi Melayu, yang majoritinya merupakan penduduk perkampungan Melayu dan peneroka tanah rancangan Felda, adalah penyokong tradisi Umno.

Proses penamaan calon akan diadakan di Majlis Daerah Labis manakala Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis akan dijadikan pusat penjumlahan undi.

Post a Comment