Live #LahadDatu : Situasi Masih Lagi Dalam Keadaan Berhati-hati




Keadaan kembali tenang terutamanya di daerah yang terbabit secara langsung dengan insiden pencerobohan berdarah pada 12 Februari 2013, seperti Pekan Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Tawau.

Daerah-daerah lain di Sabah tidak mendapat kesan secara langsung dari insiden tersebut melainkan perasaan takut dan bimbang yang masih  menyelubungi perasaan penduduk di Negeri Sabah.

Insiden ini bermula apabila pihak berkuasa mengesan  kehadiran kira-kira seramai 100-150 orang,  penceroboh rakyat asing di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 12 Februari 2013.

Mereka ini yang pada mulanya hanya menuntut supaya diiktiraf sebagai askar kesultanan Sulu dan meminta rakyat mereka yang berketurunan Suluk di Sabah tidak dihantar pulang ke Filipina telah membuat beberapa rundingan dengan pihak berkuasa negara ini.

Setelah beberapa siri rundingan tidak mencapai kata sepakat, pihak kerajaan Malaysia telah menawarkan pengunduran secara aman kepada mereka, malah kerajaan Filipina sendiri telah merayu agar para penceroboh berundur dari kawasan tersebut dan balik ke pangkuan keluarga masing-masing serta menyediakan kapal bagi misi kemanusiaan untuk membawa mereka pulang.

Setelah insiden ini berlanjutan sekian lama yang memakan masa berminggu-minggu pihak keselamatan telah membuat pelbagai cara agar para penceroboh menyerah diri dan berundur dari kampung Tanduo, Lahad Datu ini termasuklah mengedarkan risalah/menaburkan dari udara (Bahasa Inggeris dan Suluk) yang meminta mereka menyerah diri dan berundur juga tidak diendahkan.

Bagi menjaga kedaulatan negara dan mengusir para pencerboh dari bumi Malaysia dan Negeri Sabah khususnya kemuncak insiden ini  adalah pada pagi 01 Mac 2013 (Jumaat )kira-kira jam 10.00,  pagi dimana beberapa individu/penceroboh mengibarkan kain putih sebagai tanda menyerah diri tetapi akhirnya anggota keselamatan kita diserang dan terjadinya tembak menembak antara pasukan keselamatan dan penceroboh yang diketuai oleh Putera Mahkota Abimuddin Kiram,  adik kepada Sultan Sulu Sultan Jamalul Kiram III, yang telah mengorbankan 2 anggota pasukan VAT 69  dan seterusnya merebak ke daerah Semporna dan Kunak di mana dalam insiden di Kampung Simunul, Semporna pada 02 Mac 2013,  seramai enam anggota keselamatan telah terkorban.( keseluruhannya Lapan orang anggota pasukan keselamatan terkorban).

Kelmarin,  05 Mac 2013,  sekitar jam 7.00 pagi,  pasukan  keselamatan melancarkan serangan  ofensif  ke atas penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu  menerusi udara dan darat.

Menurut sumber dari pihak tentera, ia dimulakan dengan serangan udara menggunakan pesawat F-18D,  Hawk dan helikopter, diikuti mortar dan gerakan di darat oleh anggota tentera dan komando polis.

Sekurang-kurangnya 10 letupan  bom didengari di kampung Tanduo, Lahad Datu, tempat kumpulan penceroboh itu dikepung pasukan keselamatan.

Operasi memburu saki-baki penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina di Kampung Tanduo, Felda Sahabat 17, dekat sini diteruskan hari ini. Tinjauan mendapati keadaan di Lahad Datu dan Semporna masih terkawal.

Di kawasan Felda Sahabat, kawalan pasukan keselamatan negara di bawah Ops Daulat masih ketat dengan zon penampan dikuat kuasa di kawasan-kawasan sekitar 10 kilometer persegi dari Kampung Tanduo. keadaan masyarakat setempat di kawasan terbabit berjalan seperti biasa dengan penduduk keluar melaksanakan rutin harian mereka.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semasa Sidang Media pada (06 Mac 2013 ), tidak menafikan kemungkinan  penceroboh yang diburu pihak berkuasa menyamar sebagai penduduk setempat. Malah beliau enggan mengulas berapa ramai penceroboh yang terkorban dengan alasan operasi masih berjalan.

Post a Comment