Pegawai Khas Menteri Besar Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N.28 Kerdau oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, pemilihan Syed Ibrahim Syed Ahmad dibuat setelah melalui beberapa saringan sebelum diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Saya berharap agar pemilihan beliau ini akan diterima dengan hati yang ikhlas oleh semua pihak. Apa yang lebih penting ialah soal perjuangan parti dan bukannnya soal siapa calon yang akan kita ketengahkan,” kata beliau.
Beliau turut menyifatkan calon yang diketengahkan kali ini adalah yang terbaik dan diterima baik oleh penduduk di Kerdau.
“Saya melihat beliau seorang yang memiliki keupayaan dan saya berharap semua pihak akan menyambut baik keputusan yang sudah dibuat oleh Perdana Menteri ini,” tambah beliau.
Tambah beliau lagi, semua jentera BN perlu berkerjasama dengan lebih erat dan mengelakkan timbulnya masalah yang boleh menggangu tumpuan sepanjang kempen berlangsung.
“Kita sudah ada rekod yang baik di Kerdau yang sebelum ini sewaktu Allahyarham Datuk Zaharudin bersama-sama kita. Dan calon kita hari ini mempunyai tugas berat, bukan setakat meneruskan tradisi tetapi juga memastikan sokongan rakyat terhadap BN terus meningkat.
“Kita berharap akan memperoleh majority yang lebih baik berbanding 2008. Momentum itu sudah nampak dan penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri juga sudah jelas dan cukup kuat berdasarkan beberapa langkah transformasi yang dilakukan oleh kerajaan kebelakangan ini,” katanya.
Syed Ibrahim Syed Ahmad , 44, adalah anak jati Kuala Krau dan merupakan lulusan Fakulti Bahasa Arab dari Universiti Al-Azhar, Mesir.
Beliau aktif dalam politik sejak masih menuntut dan menjawat Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau dan Ketua Cawangan Umno Kuala Tekah sehingga ke hari ini.
Sementara itu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengingatkan calon yang dipilih agar jangan terlalu ghairah dan mereka yang tidak dipilih jangan pula gundah.
“Anggaplah semua ini sebagai takdir. Kita memiliki ramai calon yang layak tetapi tempat hanya satu. Apabila kita mengumumkan calon nanti jangan kita bersorak kerana kita belum menang lagi. Kalau nak bersorak pun sorak lah ala kadar sahaja. Kalau tidak bersorak, nanti kita dilihat pula oleh pembangkang sebagai takut pula,” katanya.
-MALAYSIAAKTIF-
Post a Comment