Kini Anwar hanya bergantung harap dari Yahudi



KUNJUNGAN Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Washington, Amerika Syarikat (AS) hujung bulan lalu tidak mendapat laporan seperti kebiasaan lawatan Ketua Pembangkang itu ke negara tersebut sebelum ini.

Tiada lagi gambaran bahawa Anwar adalah tokoh pemimpin Islam yang demokratik dan pendokong liberalisasi seperti yang sering dirujuk media Barat kepada beliau terutama dalam 10 tahun kebelakangan ini. Sebaliknya, Anwar dikritik hebat oleh beberapa portal berita berpengaruh terutama berhubung pendirian sebenar beliau dalam beberapa isu.

Paling menonjol ialah berhubung kenyataan yang berbaur anti-Semitik atau anti-Yahudi dalam isu APCO Worlwide. Bagi portal berita berkenaan, kunjungan Anwar ke Washington adalah misi meminta maaf untuk membetulkan kembali kenyataannya berhubung isu tersebut dan menambat semula sokongan pelobi Yahudi.

Malah, seorang penulis blog terkenal di New York, Elaine Meinel Supkis yang mengaku sering berbalas e-mel dengan Anwar turut mendakwa Ketua Pembangkang itu merupakan alat ciptaan Agensi Perisikan Pusat (CIA) bagi menjaga kepentingan dan perancangan sulit negara berkenaan di Malaysia.

Anwar juga didakwa membiayai program temu bualnya dengan sebuah agensi berita terkemuka AS untuk meyakinkan bahawa beliau bukanlah anti Yahudi. Dakwaan ini tidak dibuat oleh sembarangan orang kerana antara yang melontarkan pandangan serupa ialah rakan rapat Anwar sendiri iaitu bekas Presiden Bank Dunia, Paul Wolwofitz.

Sebuah penerbitan Internet AS pula lebih berani apabila menyiarkan artikel mengenai Anwar daripada penyokong sistem kapitalis dan konservatif, Rachel Motte. Dalam tulisan bertajuk The Reversal of Anwar Ibrahim, Motte dengan berani mendakwa Anwar mempunyai sejarah menggigit Yahudi apabila keadaan memerlukan beliau berbuat demikian.

Jika di negara lain, dakwaan sebegini sudah cukup untuk membolehkan Anwar disiasat dengan teliti kerana ia membabitkan isu kedaulatan dan keselamatan negara. Di Malaysia, Anwar juga sebenarnya boleh didakwa mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Cuma barangkali masalahnya akta itu terlalu kecil buat beliau.

Pendedahan media Barat ini sedikit sebanyak memberi gambaran wajah sebenar yang ditunjukkan oleh Anwar kepada masyarakat antarabangsa.

Dalam isu Palestin misalnya, Anwar seolah-olah tidak ikhlas membela nasib rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis apabila perlu meminta maaf atas kenyataannya yang berbaur anti-Yahudi. Sedangkan Anwar adalah antara pemimpin pembangkang yang lantang mengutuk serangan tentera Israel ke atas konvoi kemanusiaan ke Genting Gaza di perairan antarabangsa baru-baru ini.

Jika tidak kerana bermaksud politik sekali pun, Anwar tidak perlu takut untuk memperlihatkan sikap anti-Israel atas kekejaman rejim Zionis menindas rakyat Palestin. Sekurang-kurangnya untuk ketika ini sewaktu seluruh dunia masih menyimpan kemarahan atas sikap biadap Israel membunuh sukarelawan konvoi kapal kemanusiaan itu.

Sudah semestinya sikap Anwar yang melutut meminta maaf semata-mata kerana ingin menjaga hubungan baik dengan pelobi Yahudi seperti yang dilaporkan oleh portal berita kanan AS itu mengecewakan banyak pihak.

Ia seolah-olah membayangkan bahawa Anwar bergantung kepada pelobi Yahudi dalam memastikan survival politiknya lebih-lebih lagi di peringkat antarabangsa.

Ironinya, Anwar dan pembangkang juga adalah antara yang lantang mengkritik kerajaan berhubung kerjasama dengan syarikat APCO Worlwide yang dikatakan mempunyai hubungan dengan Israel. Perkara itu dibangkitkan dengan panjang lebar di Dewan Rakyat dalam usaha membuktikan bahawa Malaysia menggunakan perkhidmatan firma perhubungan awam yang pro Israel dan kononnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan khidmat bekas ejen Israel dalam projek berkaitan pengurusan maklumat dan komunikasi.

Bagaimanapun dakwaan itu dijawab sendiri oleh sebuah portal berhaluan kanan AS yang mendakwa ia sengaja dijadikan teori konspirasi mengenai penguasaan Yahudi, rancangan Zionis dan kegiatan subversif di Malaysia. Dakwaan itu dikeluarkan sendiri oleh pihak yang sebelum ini merupakan penyokong Anwar.

Beberapa isu lain dalam sesi wawancara dengan agensi berita di Washington itu turut menarik perhatian mengenai watak sebenar Anwar. Antaranya berhubung isu pelaksanaan undang-undang syariah yang mana Anwar memberikan jawapan yang sangat kabur.

Beliau didakwa cuba menonjolkan dirinya sebagai seorang yang anti undang-undang syariah seperti yang dimahukan oleh Barat. Tetapi dalam masa yang sama, beliau juga perlu menjaga hubungan dengan Pas yang merupakan parti kerjasamanya dalam pakatan pembangkang yang mendukung pelaksanaan undang-undang itu.

Tertanya-tanya juga bagaimana reaksi pemimpin Pas dalam berdepan dengan situasi ini. Adakah parti itu masih mengharapkan Anwar bersama-sama dengan perjuangan Islam mereka sedangkan Anwar sendiri gagal memberikan kata putus hanya dalam isu perundangan Islam dan konvensional di negara ini.

Selebihnya, tindakan Anwar mencari sokongan dari negara luar untuk kepentingan peribadinya adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Ia boleh diibaratkan seperti tindakan menggadai maruah negara dan membuka kepada campur tangan asing terutamanya kuasa besar seperti AS dan pelobi Yahudi.

Bayangkan sekiranya Anwar benar-benar ditakdirkan menjadi pemimpin negara. Pastinya kita dapat menelah siapa di sebalik pentadbirannya selepas kuasa-kuasa besar itu membantunya sejak sekian lama. Perlu diingatkan penjajahan dalam era moden hari ini bukan lagi dari sudut peperangan semata-mata.

Kita mungkin melihat Iraq dan Afghanistan adalah contoh negara yang terjajah secara langsung oleh AS menerusi kekuatan ketenteraan. Tetapi pada hakikatnya, banyak negara lain yang ikut terjajah menerusi apa yang disebut sebagai perjuangan menegakkan amalan demokrasi dan hak asasi.

Kedua-dua ideologi itu menjadi senjata utama kepada Barat untuk campur tangan di negara asing dengan memperalatkan pihak-pihak yang kononnya dinafikan keadilan dan hak asasi mereka. Anwar dengan skandal sodominya serta beberapa isu lain dilihat berada dalam situasi yang tepat untuk dijadikan alat kepada penegakkan demokrasi dan hak asasi tersebut di Malaysia.

Ia menjadi lebih mudah bagi Anwar apabila beliau mempunyai hubungan yang cukup rapat dengan individu berpengaruh dalam kuasa Barat kerana kedudukannya dalam kerajaan sebelum ini. Begitu pun itu tidak bermakna rakyat Malaysia yang lain perlu ikut terjebak dengan tindakan yang sebenarnya boleh mengancam keselamatan, kedaulatan, keharmonian dan kemakmuran negara ini.

Dalam isu ini, kita seharusnya dapat membezakan antara perjuangan yang berbentuk kepentingan peribadi yang boleh menghancurkan negara dengan perjuangan demokrasi serta hak asasi yang sebenar. Tindakan pemimpin yang membuka ruang kepada campur tangan asing akan menyebabkan negara kehilangan kedaulatan dan kembali terjajah secara lebih halus dan berpanjangan.

Post a Comment