LGE laungkan Kebebasan media dan keterbukaan : "NO KOMEN"


Sokongan ramai pengundi Melayu kepada pakatan pembangkang di Pulau Pinang yang diperolehi daripada pengaruh PAS terutamanya pada pilihan raya umum lalu, ternyata tidak diterjemahkan sewajarnya oleh DAP.
Malah Ketua Menteri, Lim Guan Eng sedikit demi sedikit mengkhianati suara pengundi terutama Melayu dan India. Banyak gerai penjaja Melayu dirobohkan. Penempatan Melayu juga menjadi sasaran. Kampung Buah Pala yang merupakan penempatan popular kaum India turut lenyap.
Perarakan Maulidur Rasul untuk umat Islam pernah dibatalkan. Sekatan terhadap media juga semakin ketara di Pulau Pinang termasuk ke atas akhbar terbitan Kumpulan Utusan. Kebebasan media dan keterbukaan yang dijanjikan semasa kempen pilihan raya umum, hanya palsu. Bukan setakat itu, Utusan Malaysia dilabelkan sebagai penjahat oleh Guan Eng hanya kerana tidak membawa aspirasi DAP (yang cenderung untuk merungkai Perlembagaan negara). Rasanya belum pernah ada mana-mana pemimpin di dunia melabelkan akhbar sebagai penjahat kecuali beliau. Bagi ramai pengamal media di negeri itu, Guan Eng tidak boleh dikritik. Beliau mudah melatah dan bertindak balas.
Awang juga masih ingat bagaimana Setiausaha Agung DAP itu pernah mendakwa Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock mati dibunuh sedangkan siasatan dan inkues hanya baru bermula. Kenyataan tersebut berbaur hasutan dan bercanggah dengan prinsip undang-undang.
Terbaru, beliau menghina dan memperlekehkan penjawat awam iaitu Pegawai Kemajuan Negeri (SDO) Nik Ali Mat Yunus secara terbuka berhubung isu curi pasir.
Nik Ali turut mendakwa beliau dilemparkan kata-kata kesat oleh Guan Eng kerana kononnya tidak menyediakan tempat duduk kepada beliau pada satu majlis rasmi di Bukit Bendera pada Oktober 2009. Bagaimanapun berdasarkan gambar yang disiarkan oleh media kelmarin, jelas menunjukkan Guan Eng duduk di kerusi kenamaan pada majlis tersebut. Banyak pihak terkejut dengan sikap Guan Eng termasuk Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan. “Sebagai ketua kerajaan, Guan Eng sepatutnya malu dengan tindak-tanduknya,” kata beliau.
Awang hairan mengapa beliau perlu mengambil pendekatan konfrantasi terhadap pegawai awam. Persoalan yang berlegar apakah Guan Eng bersikap rasis dan mungkinkah beliau akan mengambil tindakan yang sama jika pegawai awam itu adalah seorang Cina?
Itu belum lagi menyentuh isu cubaan untuk merobohkan bangunan tambahan sekolah TUDM. Mujurlah majlis daerah bertimbang rasa bagi membolehkan perbincangan diadakan.
Banyak lagi kritikan terhadap beliau. Misalnya orang ramai masih bercakap isu sistem tender terbuka yang dijanjikan telus tetapi ternyata tidak. Ada pendedahan oleh seorang pemimpin pembangkang sebelum ini bahawa Guan Eng sendiri mempengerusikan lembaga tender. Beliau juga pernah mencetuskan bantahan ramai apabila mahu mengadakan pilihan raya bagi Majlis Pihak Berkuasa Tempatan, yang kita tahu apa motifnya.
Lalu Awang teringat komen seorang tokoh, lagi banyak media arus perdana mendedahkan kelemahan kerajaan Pulau Pinang, ia akan menguntungkan politik Guan Eng. Analisis beliau, lagi Guan Eng ditekan lagi kuat sokongan kaum Cina kepada beliau.
Awang tidak mahu bercongak tentang politik. Yang tidak betul mesti disanggah. Jika ada yang baik sebagaimana gaya kepimpinan Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak, ia wajar dihargai tanpa mengira sama ada ia pimpinan pembangkang. Pertimbangan Awang adalah rakyat. Ada juga yang berpendapat, biarkan sahaja Guan Eng bermaharajalela kerana lagi banyak kesilapannya, lagi menguntungkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang. Sekali lagi pertimbangan Awang adalah rakyat, yang tidak seharusnya menjadi korban. Rakyat bukan bahan eksperimen politik.
Apa pula rumusan terhadap kepimpinan Guan Eng setakat ini? Awang menyertai sentimen orang ramai dan pelbagai pihak bahawa beliau seorang diktator dan makin angkuh. Sikap rasisnya pula menebal. Juga kian jelas ialah kegelojohan beliau untuk menjadikan Pulau Pinang bagaikan pemerintahan republik dan seolah-olah negeri itu beliau yang punya.
Sebenarnya Guan Eng belum cukup masak untuk diangkat menjadi Ketua Menteri. Ramai tahu, beliau naik cepat dalam pendakian politik kerana statusnya sebagai anak pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang. Ada beberapa lagi pemimpin muda DAP yang berbakat dan berkebolehan tetapi semuanya terpinggir kerana Kit Siang mahukan anaknya menjadi pengganti beliau. Anak bapaklah katakan. Kronisme memang hebat dalam DAP berbanding parti lain.
Awang ingin mencadangkan penubuhan sebuah panel penasihat bagi membantu Guan Eng agar tidak terus menjadi liabiliti kepada pakatan pembangkang. Orang yang paling sesuai mengetuai panel itu ialah Kit Siang sendiri. Tolonglah ajar anak anda.
Awang Selamat

Post a Comment