Meskipun Pemilihan Kepimpinan DAP Perak menyaksikan bekas Timbalan Pengerusi DAP Perak, M.Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat dan kumpulannya tewas mengejut kepada konco-konco Nga Kor Ming dan Ngeh Koh Ham yang terus dilantik menjadi pengerusi dan setiausaha negeri, episod itu tidak menamatkan spekulasi kemungkinan berlaku kejutan dalam landskap politik DAP Perak.
Kulasegaran, yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan dilaporkan telah menolak tawaran daripada pucuk pimpinan baru DAP Perak supaya memainkan peranan sebagai naib pengerusi DAP negeri kerana menyedari ia suatu yang sia-sia.
Memetik sebuah portal online, Kulasegaran yang menyifatkan ‘penyembelihan beberapa sekutu yang berkemampuan, komited dan berdedikasi’ yang bertanding menentang calon-calon yang ‘tidak mempunyai latar rekod, tidak dikenali di dalam dan juga luar parti’ adalah sesuatu yang amat perit.
Biarpun Kulasegaran telah menyatakan ikrar untuk kekal dalam DAP, namun masih tidak mustahil beliau mengubah pendirian sekiranya peranan dan pengaruh beliau terus dipinggirkan Nga dan Ngeh di masa depan .
Ini kerana, dalam politik tiada yang mustahil. Contohnya, Datuk Zaid Ibrahim yang pernah berikrar untuk terus berjuang dalam PKR akhirnya berpatah arang berkerat rotan dengan parti yang diwakilinya sewaktu menjadi calon pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor.
Bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan yang terkenal dengan kelantangan bersuara akhirnya tidak dapat lagi bertolak ansur dan tunduk kepada diktaktornya Anwar Ibrahim, sebelum mengumumkan akan terus aktif dalam arus politik tanah air dan menentang PKR yang pernah dipimpinnya sebelum ini.
Berbalik kepada Kulasegaran, adalah suatu pilihan yang logik dan lebih baik kepada beliau dan masyarakat India sekiranya beliau mengambil iktibar daripada riwayat politik Datuk Zaid.
Jika beliau sedia maklum Nga dan Ngeh akan terus ‘mencantas’ populariti beliau dalam parti, apa ertinya beliau terus kekal. Dan ada baiknya juga beliau mengikut jejak langkah pemimpin terbuang PPP, T.Murugiah menyertai MIC sebagai platform bagi membawa aspirasi masyarakat India selepas hilang jawatan dalam parti yang didokongi selama ini.
Suka atau tidak, harus diakui MIC masih ketandusan pemimpin masyarakat yang benar-benar berwibawa. Justeru, penyertaan Kulasegaran yang juga seorang peguam pastinya mampu membela kepentingan politik kaum berkenaan yang semakin terpinggir ekoran kelemahan pemimpin MIC yang disifatkan kurang berkesan sehingga kini.
Jika berpolitik itu suatu wadah untuk membela kepentingan kaum, tidak mustahil Kulasegaran akan menyertai MIC demi kelangsungan politik yang beliau pertahankan. Harus diakui, Kulasegaran mempunyai pengikut dan pengaruh yang besar kepada komuniti India khususnya di Perak. Jika ini berlaku, pastinya masyarakat India khususnya di Perak bakal meraih manfaat yang diharapkan ekoran keberkesanan berpolitik beliau kepada MIC dan juga BN.
MIC yang bakal menyaksikan peralihan tampuk kepimpinannya sedikit masa lagi perlukan pemimpin yang teguh pendirian,berani bersuara dan berjiwa kental demi survival bangsa. Ini kerana banyak pihak berpandangan kharisma Datuk G.Palanivel selaku pengganti Datuk Seri Samy Vellu belum cukup meyakinkan umum bahawa MIC mampu berdiri gah di persada politik negara sekaligus memberi impak besar kepada kejayaan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-13 kelak.
Post a Comment