PAS PIS PUS DIRAMALKAN akan KALAH BESAR HARI INI!!!


Pengundian pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang bermula 8 pagi ini — dengan ramai meramalkan Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan kemenangan tradisnya tetapi fokusnya ialah mengenai majoriti yang bakal diperoleh perikatan tersebut. 

Sementara BN meletakkan sasaran untuk menggandakan majoriti iaitu memperoleh kelebihan undi yang direkodkan pada 2004, penganalisis dan firma kajian meramalkan majoriti lebih rendah daripada yang disasarkan mereka. 

Sama ada calon BN Mohd Azahar Ibrahim akan membantu mempertahankan kerusi parti itu atau Normala Sudirman yang mewakili PAS-Pakatan Rakyat mampu mencatat sejarah dengan merampas kerusi itu. 

Pakatan Rakyat yang diwakili PAS meletakkan dua sasaran — untuk menang dan jika tidakpun sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti BN - langkah penting untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13. 

Apapun bakal keputusan hari ini — yang dijangka diketahui 7.30 malam nanti — akan menjadi bayangan awal tarikh pilihan raya umum ke-13. Kedua-dua calon yakin pengundi dalam membuat keputusan bijak bagi memilih wakil rakyat yang boleh membantu menyelesaikan masalah di kawasan itu. 

Ketika ditemui The Malaysian Insider semalam, Mohd Azahar, 39, bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit berharap agar pengundi dapat membuat keputusan bijak dengan mengekalkan BN. 

“Saya rasa seronok ketika berkempen. Walaupun tidak dapat jumpa semua (pengundi) tapi saya berharap dapat menemui seberapa ramai yang boleh,” katanya. 

Normala, 38, Ketua Muslimat PAS Labis berkata walaupun menjadi mangsa serangan peribadi sepanjang kempen pilihan raya kecil,  namun beliau tetap positif pengundi akan membuat perubahan penting hari ini. 

“Harapan saya sentiasa positif, saya yakin pengundi akan membuat pilihan terbaik,” katanya lagi. Jika melihat dari segi sejarah dan berdasarkan rekod pilihan raya sebelum ini, sebahagian besar pengundi kerusi DUN Tenang masih berpihak kepada BN sekali gus kekal sebagai kubu kuat BN. 

Bagaimanapun, BN tidak boleh memandang ringan akan kempen yang dibawa Pakatan Rakyat yang kemungkinan besar boleh berlaku satu “kejutan”, yang akan menggagalkan hasrat BN memperoleh kemenangan. 

Dalam tempoh berkempen, PAS-Pakatan Rakyat yang diketuai Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Tenang Salahuddin Ayub lebih memberikan fokus terhadap isu-isu semasa termasuk kegagalan Mohd Azahar dalam menguruskan tanah di Segamat. 

Sementara BN melalui MCA terlebih dahulu menyerang secara peribadi calon PAS-Pakatan Rakyat Normala, Ketua Muslimat PAS Labis  atas alasan beliau tidak mahu bersalam dengan kaum lelaki. 

Serangan itu terlebih dahulu dibangkitkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mempersoalkan pendirian Normala itu, serangan itu kemudian diikuti dengan beberapa pemimpin MCA yang lain. 

Tindakan pemimpin MCA menyerang peribadi Normala mendapat tentangan daripada pemimpin Pakatan Rakyat. 

Ekoran perkembangan tersebut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menggesa parti komponen BN terutamanya MCA tidak mengeksploitasikan pendirian Normala itu. 

Pilihan raya kecil ke-14 ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandang Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lepas. Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12, menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran, dengan majoriti 2,492 undi. 

Bercakap soal kemenangan, penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugam Pandian berpendapat isu-isu yang dibawa Pakatan Rakyat dalam kempen pilihan raya kecil kawasan itu tidak memberikan sebarang kesan terhadap pengundi. 

“Saya rasakan ia kekal kubu kuat BN apatah lagi tradisi Johor perlu dikekalkan, isu-isu yang dibawa pembangkang (Pakatan Rakyat) lebih bersifat nasional yang kurang kena kepada pilihan raya kecil ini,” katanya. 

“Saya jangkakan BN menang dengan majoriti lebih besar dari 2008 dan peratusan keluar mengundi bergantung kepada cuaca dan gerakan jentera parti untuk membantu proses keluar mengundi,” katanya. 

Membicarakan isu yang sama, pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata kedua-dua calon bertanding mempunyai kekuatan untuk mencapai kemenangan. 

“Kedua-dua calon mempunyai kekuatan dari segi penampilan dan ketokohan sebagai wakil rakyat, isunya di sini sama ada pengundi mengundi calon atau parti. 

“Corak politik lebih menjurus kepada parti, isu yang diperjuangkan BN lebih berupa politik pembangunan dan personaliti calon lawan yang amat berkesan terutamanya di tiga kawasan Felda yang majoriti pengundi Melayu. 

“Di kawasan bandar yang majoriti penduduk Cina, politik pembangunan kurang berkesan. PAS telah memainkan isu salah tentang urus pentadbiran Felda, isu rasuah, harga barang naik dan personaliti lawan,” katanya. 

Beliau menjelaskan peratusan keluar pengundi akan rendah sekiranya hujan dan banjir berlaku di kawasan Tenang.

“Peratus keluar akan rendah, 50 hingga 60 peratus sekiranya hujan dan banjir dan akan tinggi, 70 hingga 80 peratus kalau cuaca cerah. 

“Peratus keluar undi rendah akan memberi kelebihan kepada PAS kerana faktor pengundi penentu dari kawasan Felda. “Saya ramalkan BN akan menang dengan undi 1,000 hingga 2,000,” katanya. 

Kajian umum menunjukkan BN masih boleh mengekalkan kerusi tradisinya DUN Tenang tetapi tidak akan mencapai sasaran majoriti 5,000 yang pernah diperoleh calonnya pada 2004. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi akan mencecah 80 peratus, lebih tinggi berbanding 73 peratus pada 8 Mac 2008. 

Sejak lima hari lalu, kempen pilihan raya kecil kawasan itu sedikit terjejas ekoran hujan sepanjang hari yang berlaku selain berlaku banjir kilat di beberapa kawasan petempatan penduduk. 

Sekiranya hujan berterusan peratusan keluar mengundi dianggarkan rendah sehingga boleh memberikan kesan dan mempengaruhi keputusan pilihan raya kecil. Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meminta supaya pengundi di DUN Tenang agar menunaikan tanggungjawab mereka pada sebelah pagi bagi mengelakkan hujan lebat yang dijangka berlaku pada sebelah petang.

Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca pagi ini mendung manakala hujan lebat pada sebelah petang. Abdul Aziz berkata semua 12 pusat yang mempunyai 32 saluran mengundi adalah selamat daripada kemungkinan dilanda banjir kerana terletak di tempat tinggi.

Post a Comment