PKR mahu letakkan Sam Pendek sebagai calon Merlimau





Parti Keadilan Rakyat (PKR) menawarkan ketua sayap mudanya Shamsul Iskandar Mohd Akin bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, yang akan menyaksikan pilihan raya kecil ekoran kematian penyandang Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, semalam.
PKR mahu meletakkan calon mereka meskipun Pakatan Rakyat merasakan wajar menurunkan semula wakil PAS.

Kerusi itu ditandingi calon PAS pada pilihan raya umum Mac 2008 dan empat tahun sebelumnya calon PKR.

Kepimpinan Pakatan Rakyat Melaka dijangka bertemu awal minggu depan untuk memutuskan sama ada meletakkan wakil PKR atau PAS di Merlimau.

The Malaysian Insider difahamkan kepimpinan negeri mahukan PAS bertanding di kerusi itu yang majoritinya orang Melayu manakala PKR juga mempunyai calon sendiri, yang dipercayai boleh membawa kemenangan kepada perikatan tiga parti itu.

Allahyarham Mohamad Hidhir memenangi pilihan raya pertamanya menewaskan S. Jayathas dari PKR dengan majoriti 5,087 undi pada 2004 dan pada pilihan raya lepas, beliau menang dengan majoriti 2,154 mengalahkan pencabarnya, Jasme Tompang dari PAS.

“Beberapa orang (pemimpin negeri PKR) ada mencadangkan nama saya ... tetapi kami akan membuat keputusan bersama kepimpinan pusat mengenai parti mana yang akan bertanding.

“Dari segi undi kerusi Parlimen, pada 2008, PKR memperolehi lebih undi berbanding PAS ... itu sebabnya akan membawa perkara ini,” kata Shamsul yang juga ketua PKR Melaka kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun menurut Ketua Pembangkang Pakatan Rakyat Melaka Goh Leong San, PAS akan diberi keutamaan untuk bertanding di Merlimau.

“Kepimpinan Pakatan kemungkinan akan bertemu hujung minggu ini ataupun selepas itu, bukan hari ini, kerana kami hendak menunggu hari penamaan calon Tenang terlebih dahulu.

“Kami akan bertemu sehari atau dua selepas itu,” katanya.

“Pakatan mempunyai persefahaman berhubung kerusi ditandingi, penduduk Melayu lebih 60 peratus ... kami menghormati kerja yang dilakukan oleh PAS di kawasan itu, biar PAS membuat keputusan mengenai calon,” kata beliau.

Goh yang juga Adun Kesidang memberitahu, Pakatan Rakyat akan memfokus isu-isu negeri dan bukannya peringkat nasional pada pilihan raya kecil kali ini.

“Pembaziran projek mega oleh kerajaan negeri, masalah banjir yang menyebabkan kerugian ... ia negeri kecil, kebanyakan rakyat memahami isu-isu peringkat negeri,” kata pemimpin DAP ini.

Kata beliau, Pakatan Rakyat juga akan mengadakan majlis makan malam di Pekan Merlimau esok, yang akan turut dihadiri oleh timbalan pengerusi DAP nasional Dr. Tan Seng Giaw, Speaker DUN Selangor Datuk Teng Chang Khim dan kemungkinan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu.

Kerusi DUN Merlimau yang mempunyai 10,500 pemilih, terdiri daripada 64.7 peratus pengundi Melayu, 21 peratus Cina dan 14 peratus India.
sumber themalaysianinsider


- Posted using BlogPress from my iPad

Post a Comment