PAS : Prof Mohd Noor Deris tiada kedudukan dan tauliah setinggi Pok Nik

PAS Kelantan hari ini mempertahankan pendirian Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik yang menegaskan hanya akan berdebat tentang Islam dengan individu yang mempunyai kedudukan dan tauliah.

Kelmarin Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan mempersoalkan kedudukan dan kredibilit Pengerusi Biro Agama Veteran Umno Kelantan, Prof Mohd Noor Deris yang ingin berdebat dengan beliau.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Abdul Latiff Abdul Rahman berkata kedudukan Mohd Noor tidak setaraf dengan Nik Aziz yang merupakan tokoh pemimpin di negara ini.

“Dewan Pemuda PAS Kelantan ingin mengingatkan selaku Menteri Besar dan pemimpin tertinggi PAS, Tuan Guru Nik Aziz tentulah sepadan jika dipertemukan dengan individu yang mempunyai jawatan dan kuasa dalam parti atau kerajaan.

“Majlis Fatwa Kebangsaan yang dianggotai para ulamak atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk) (Seri) Jamil Khir (Baharom) sendiri boleh berhadapan dengan Tuan Guru Nik Aziz dalam sesi perbincangan atau perdebatan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Justeru, Abdul Latiff mencadangkan agar Umno melantik Mohd Noor sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri sekiranya mahu berdebat dengan Nik Aziz.

“Justeru, sekiranya Umno melihat hanya Mohd Noor layak berdepan dengan Tuan Guru Nik Aziz, Dewan Pemuda PAS Kelantan mencadangkan agar Mohd Noor dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan memberikan tugas menjaga hal ehwal agama.

“Beliau (Mohd Noor) amat berkelayakan menjawat jawatan tersebut memandangkan taraf ilmunya yang tinggi,” katanya.

Abdul Latiff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkebang berkata demikian ketika mengulas kenyataan Jamil Khir yang mengatakan Nik Aziz tidak perlu mengheret pihak lain, termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menegakkan kebenaran memadai berhadapan dengan Mohd Noor.

“Selesai dulu dengan Mohd Noor, soal agama ini bukan kira setaraf, layak atau tidak, dia (Nik Aziz) tak perlu babitkan orang lain, Majlis Fatwa kalau minta bagi fatwa bolehlah, tapi bukan atas permintaan individu tapi Raja. Itu peraturan fatwa, kalau dia nak cabar Majlis Fatwa, maknanya dia tidak faham fungsi dan peranan majlis.

“Sebagai orang agama, dia tentu lebih faham hukum agama, bukan menjatuh atau melemparkan hukum, tentukan siapa masuk syurga, kafir atau jahiliah,” katanya Jamil Khir.

Isu berkenaan berbangkit apabila Nik Aziz mengeluarkan kenyataan mengelirukan umat Islam ketika berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang baru-baru ini, dengan mengatakan mereka yang tidak menyokong PAS ialah jahiliah.

Berikutan tindakan Nik Aziz itu, Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran Umno Kelantan meminta Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja mengkaji kenyataan Nik Aziz itu yang didakwa merosakkan akidah serta memecahbelahkan perpaduan umat Islam di negara ini.

Malah sebelum ini Nik Aziz juga mencetuskan pelbagai kontroversi termasuk mengeluarkan kenyataan umat Islam yang mengundi PAS masuk syurga dan undi Barisan Nasional masuk neraka.




- Posted using BlogPress from my iPad

Post a Comment