Analisis #PRKTelukIntan Percubaan DAP Menggunakan Calon Melayu Cantik GAGAL!

 

Tahniah Datuk Mah atas kemenangan beliau di Teluk Intan. Tertarik juga dengan komen beliau yang berprinsip untuk menerangkan misi beliau untuk mewujudkan universiti di Teluk Intan. Keluhan beliau apabila menyatakan yang DAP berkempen bukan melalui misi parti tetapi memburukkan lawan. Kami sebagai warga yang bebas melihat sebenarnya pada bahagian BN pun tidak kurang juga. 

Takziah pula kami ucap kepada Dyana Sofya atas kekalahan yang sudah dijangka oleh Lim Kit Siang 'siang-siang' lagi. Walaupun kekalahan Dyana hanya dengan majoriti tipis Datuk Mah, tetapi pada kami, secara moral, ia satu kemerosotan yang sangat teruk berbanding keputusan pilihanraya yang lalu. Ini kerana pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Mendiang Seah, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi. 

Ada beberapa perkara yang menjadikan teori kifarah ini boleh dikembangkan. Semua yang terjadi ada hikmahnya. Tidak ada manusia yang tahu rahsia-rahsia di sebalik pelbagai kecelakaan atau kejadian buruk yang telah ditetapkan Allah. 

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia adalah BAIK bagimu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu walhal ia BURUK bagimu (al-Baqarah: 216).

SAINS KIFARAH DI SEBALIK KEKALAHAN DYANA

Kifarah adalah balasan atau DENDA dari Allah DI DUNIA ini akibat dosa yang dilakukan oleh seorang hambanya. Orang Melayu langsung meminjam istilah ini menjadi satu bahasa sumpahan berbunyi ‘KEPARAT’. Ia boleh berlaku secara karma atau Qadha’ dan Qadar dari Allah sendiri atau melalui ‘Fidyah’ sebagai denda untuk menebus dosa itu oleh pelakunya dengan penuh insaf dan rendah diri. Setiap mukmin wajib mengimani adanya hukum kifarah ini untuk menundukkan diri terhadap Allah.

MENGKHIANATI HUDUD: Sebagai orang Islam, jika belum mampu untuk memahami dan bersetuju dengan isu hudud, sekurang-kurangnya tidak terang-terangan menentang. Kifarah boleh berlaku apabila beliau dengan lantang menyatakan tidak akan menyokong usul hudud di dalam parlimen, sebaik sahaja beliau diumumkan sebagai calun. Belum lagi dapat kuasa sudah gila kuasa melawan hukum Allah yang maha kuasa. 

Hudud itu milik Allah. Masalah yang dilihadapi oleh semua pihak cuma methodologi perlaksanaannya atau lebih kepada membeli masa sehingga sekutu-sekutu politik dapat difahamkan. Kenyataan Dyana itu telah merubah air muka Tuan Guru Haji Hadi Awang dan Mat Sabu sendiri. Ia juga amat mengguris hati seluruh Muslim yang menyumpah beliau setelah mendengar pendirian itu. 

Hampir seluruh umat Islam yang pro-hudud walaupun dari UMNO, PKR dan PAS sendiri tersinggung. Mereka yang tidak setujupun sebenarnya masih beradab untuk tidak secara terang-terangan menyatakan ketidaksetujuan, tetapi membincangkan penentangan itu di dalam kumpulan tertutup mereka. Mungkin Dyana sesal dengan kenyataan itu, lalu telah mengubah semula kenyataan yang kononnya beliau bukan tidak setuju cuma ia tidak sesuai lagi untuk masa sekarang. 

MEMBURUKKAN UITM: Hukum Islam dan adat Melayu sangat menganjurkan kita menghormati guru. Dyana sebagai seorang bekas pelajar UITM telah secara keterlaluan menghentam institusi pengajiannya untuk meraih populariti dari kaum Cina. Ini dinilai sebagai satu penderhakaan yang secara hukum adat maupun syarak adalah satu dosa kerana ramai sekali golongan pendidik dan rakan alumni UITM yang kecil hati. 

Kifarah menimpa secara terus apabila Dyana mula menafikan pembelaan hak kaum kelahirannya. Beliau telah melupakan sejarah penubuhan UITM yang telah membolehkan beliau sendiri meraih faedah sebagai pelajar. Lebih 120,000 pelajar UITM yang sedang menuntut di seluruh negara. Itu tidak termasuk golongan alumni yang tersinggung dengan kenyataan beliau.
Semua jiwa-jiwa yang terguris ini menjadi suara-suara penentang kepada Dyana. Di situlah dia terpukul dengan pelbagai kata-kata yang tersebar di seluruh maya. Maaf kata, kenyataan Dyana itu tidak dipersetujui termasuk oleh kumpulan-kumpulan tertutup Facebook dari parti sekutu seperti PAS dan PKR itu sendiri. Itulah kifarah atau hukuman bagi Dyana. 

MENGKHIANATI UMNO: Baru dengar guruh di langit, air tempayan sudah dicurahkan. Itu satu peribahasa yang sangat sesuai dengan Yammy Samad iaitu ibu kepada Dyana. Sebagaimana anaknya, begitu juga ibunya yang hanya kerana terbuai dengan pengharapan terhadap anaknya, beliau sanggup untuk melucutkan pegangannya terhadap parti perjuangannya. 

Kami lihat mesej "saya tidak akan keluar UMNO kecuali jika UMNO buang saya" ini sebagai satu kesediaan untuk dibuang berbanding untuk terus berjuang. Dari maklumat yang diedarkan, terlalu banyak kemudahan dan kesenangan yang Yammy dan keluarganya telah ‘dapat’ dari perjuangannya dengan UMNO namun beliau berpaling juga. Itulah nilai satu perjuangan hari ini.

KURANG KARISMA & BANYAK LONTARAN FITNAH

BANYAK PEMBOHONGAN : Seorang calun pemimpin perlu jujur dan tidak menipu. Kefasikan tetap akan terdedah juga. Dyana yang mengatakan beliau seorang peguam akhirnya mengakui berbohong apabila ditelanjangkan segala fakta bahawa dia bukan seorang peguam bahkan sekadar graduan diploma perundangan. Kenyataan tentang kedudukan beliau sebagai pegawai khas Lim Kit Siang juga berbolak balik.

Demikian juga dengan kenyataan beliau yang menafikan ibunya Yammy Samad tidak pernah terlibat dengan Perkasa. Setelah dikorek oleh media, barulah beliau akuinya semula. Ini semua mendedahkan tahap kelemahan seorang calun harapan DAP ini.

Bukan kami kata pemimpin lain tidak menipu, tetapi penipuan mereka pandai diselindungkan. Kami tidak samasekali mengatakan menipu itu baik. Sekalipun diselindungkan ia tetap satu penipuan juga. Dyana orang baru yang mungkin masih agak hijau dalam selok belok politik yang pada sebahagian simpangnya agak menjijikkan. 

KARISMA BERPIDATO: Dyana tidak punyai karisma yang kuat dalam pengucapan umum. Beliau kurang menjiwai perjuangan parti DAP. Bandingkan sahaja ucapan Lim Kit Siang, Tian Chua, Lim Guan Eng, Anwar Ibrahim bahkan Nurul Izzah sendiri yang sangat berwibawa disebabkan perjuangan yang meresap di dalam darah mereka. 

Bahasa badan tidak mampu menipu. Sebab itu juga keyakinan pengundi menjadi teragak-agak pada PRK Teluk Intan kali ini. Cuba bayangkan bagaimana lancarnya Dyana jika bergaduh dengan teman lelakinya? Mesti tidak teragak-agak kerana semuanya ada dalam dada dan hanya perlu dikeluarkan. Ini tidak akan sama dengan membaca NOTA BOSNYA DARI ATAS KERTAS. 

Umur 27 tahun dikira masih muda untuk anak gadis ini naik ke pentas politik tanpa asas perjuangan yang tidak sekukuh Nurul Izzah Anwar yang mampu melontarkan hujjah yang menjentik emosi untuk meraih empati pengundi. Dari sudut lain, sebenarnya kami juga tidak berkenan dengan banyaknya kenyataan kebudak-budakan pemimpin UMNO yang turut membantu kempen di PRK Teluk Intan. 

LONTARAN FITNAH: Walaupun orang Melayu masih beradab dan cuba menahan diri dari menyebarkan isu peribadi untuk menutub aib Dyana, namun detik hati mereka tidak mampu disembunyi. Bebasnya beliau yang tidak menutup aurat untuk diusung oleh berbagai lelaki anggota DAP ke sana ke mari jelas menjadikan orang Melayu terasa cemburu.

Fitnah peribadi yang banyak tersebar, samada ianya benar atau palsu telah sedikit sebanyak membuatkan orang Melayu merasa kecewa. Antaranya ialah sebaran gambar berbikini, dan berbagai-bagai lagi. Memang orang yang luas pergaulannya, yang banyak bergaul dan menghadiri majlis masyarakat Cina akan mengakui segala kemungkinan itu semua boleh berlaku. Banyak juga ucapan ibu Dyana yang tidak bertapis dan menyinggung hati orang Islam dan Melayu.

Sesungguhnya Dyana adalah mangsa keadaan, hasil dari kelemahan instisusi keluarga dan pendidikan negara yang agak liberal. Ya memang begitulah liberalnya pemikiran dan carahidup pelajar UITM sepertimana yang diketahui umum. Ia dilihat telah memakan diri Institusi itu sendiri apabila Dyana mengembalikannya dengan menampilkan gaya hidup dan pemikiran yang bebas hingga tergamak melontarkan kritikan tidak berbatas terhadap UITM sendiri. 

KESIMPULAN

Dyana hanya sekadar mangsa strategi Lim Kit Siang yang kurang menjadi. Kononnya pengundi Cina akan terus mengundi DAP sementara orang Melayu akan mengundi Dyana. DAP hampir merasakan mustahil boleh kalah kerana majoriti dalam PRU 13 amat tinggi. Oleh itu, kekalahan ini bukan atas nilaian majoriti 238 undi, tetapi melihat kehilangan melebihi 7,313 undi.

Tiada karisma bukan sesuatu yang besar kerana pada kebanyakan masa, Dyana hanya menguasai pentas beberapa minit sahaja dan selebihnya dikuasai oleh pejuang-pejuang veteran DAP. Dyana hanya perlu tampil ‘cantik dan meyakinkan’ sahaja. Lagi banyak beliau berkata, lagi banyak cacat celanya. 

BN sepatutnya kalah teruk kerana undi orang Melayu kurang favor kepada calon Cina dan orang Cina pula sudah memilih untuk DAP sebelum ini. Sudahnya, percaturan Lim Kit Siang untuk menggunakan Dyana bagi memainkan isu-isu yang liberal kaum dan agama itu kecundang, kerana ia ternyata amat menyinggung hati orang Melayu dan juga Orang Islam. 

Itu satu kifarah yang besar dan sepatutnya menjadi pelajaran kepada Dyana dan pemimpin yang lain. Islam mengajarkan kita agar taat dan menghormati ibu bapa dan orang yang telah memelihara dan mendidik kita. Jika kita tidak suka sekalipun, ia seharusnya ditinggalkan dengan baik, bukan dengan maki hamun dan caci cerca.

Melihat begitu panjangnya senarai ‘benefit’ yang telah Dyana dapat melalui perjuangan ibunya dalam UMNO, jelas menampakkan betapa Dyana tidak mengenang budi sama sekali. Demikianlah lemahnya naluri perjuangan yang beliau perolehi dari ibunya. Baru dilantik menjadi calun sudah begitu sekali galak dan lupa dirinya. 

Mari kita ambil iktibar dari kisah ini. Jangan sekali-kali menghiris hati orang yang pernah berbudi kepada kita. Boleh mengkritik secara akademik, tapi biarlah berpada-pada. Rasulullah ajar agar kita menghormati semua guru dan murobbi/ibubapa kita, biarpun ia bersikap seperti babi sekalipun. Dosa mereka tidak tertakluk kepada kita. Jika kita tidak mampu menerima ajaran atau perjuangan mereka, tinggalkanlah dengan baik dan berakhlak. Jangan sekali-kali tinggalkan mereka dengan cara meludah.

QS;73/10-11: “Dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik. Dan biarkanlah Aku (saja) bertindak terhadap orang-orang yang mendustakan itu, orang-orang yang mempunyai kemewahan dan beri tangguhlah mereka barang sebentar”.

Kekalahan yang diberikan kepada Dyana menunjukkan Allah masih kasih kepadanya dan ibunya. Dengan kekalahan ini beliau boleh bertenang dan kembali muhasabah dan bertaubat. Jika menang, mungkin keterlanjuran Dyana menjadi semakin jauh. Oleh itu bersyukurlah dengan kekalahan ini.

“Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun sebatang duri, ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa.” (Daripada Aishah r.a. HR Al-Bukhari dan Muslirn)

Semuga apa yang kita perhatikan mampu membuka mata dan hati untuk segera kembali kepada kuasa Allah yang esa. Merasa takut dan gementarlah. Lihat berapa banyak KIFARAH yang telah berlaku di hadapan mata kita akibat dari keberanian kita menentang Allah dengan SENGAJA.