DESAKAN AGAR PAS BEKERJASAMA DENGAN UMNO DEMI MELAYU & ISLAM!

Pas perlu menyegerakan kerjasama mereka dengan UMNO dan pada masa yang sama mempertimbangkan kedudukan mereka bersama pihak pembangkang.

Menurut penganalisis politik, ia adalah disebabkan rentetan kekalahan Pas pada beberapa pilihan raya kecil dan terbaru kalah di semua lima kerusi yang ditandingi semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 pada 16 April lalu.

Penganalisis politik, Dr. Sivamurugan Pandian berkata, Pas perlu melihat kedudukan mereka yang tidak menentu bersama pihak pembangkang dan dilihat lebih bergantung kepada DAP.

Pada masa yang sama katanya, kerjasama mereka dengan pembangkang telah menghakis sokongan masyarakat Melayu terhadap Pas dan ia terbukti pada beberapa siri pilihan raya yang lalu sekali gus merugikan parti berkenaan.

"Kerjasama ini tidak akan merugikan Pas kerana jelas terbukti parti itu mampu berdiri dengan sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dan tidak lama kemudian sokongan terhadap mereka mulai terhakis.

"Bagi saya kerjasama Pas dan UMNO tidak mempunyai masalah kerana kedua-kedua parti itu mempunyai titik persamaan iaitu memperjuangkan nasib masyarakat Melayu dan Islam," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam pada itu, bekas Felo Pusat Syariah Undang-Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohd. Roslan Mohd. Saludin berkata, kerjasama antara UMNO dan Pas merupakan idealisme yang ditunggu-tunggu oleh orang Melayu dan sekiranya tercapai, ia ibarat mimpi menjadi kenyataan.

Menurutnya, kerjasama itu boleh disegerakan kerana masyarakat Melayu dilihat terlalu bertoleransi dengan kaum lain dan sentiasa berpecah-belah sesama sendiri.

"Sekiranya Pas dan UMNO boleh bersama dalam aspek yang berlainan ini saya percaya penyatuan politik lambat-laun akan menjelma juga antara kedua-dua pihak.

"Namun, pada masa yang sama, pemimpin Pas perlu sanggup mengetepikan kepentingan dan perbezaan yang membelenggu mereka selama ini," katanya.


- Posted using BlogPress from my iPad

Post a Comment