Dek Kerana Air Free : Selangor, KL dan Putrajaya bakal mengalami krisis Air 2014?

Pengguna di beberapa kawasan di Selangor, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bakal mengalami krisis bekalan air sekiranya Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor (PPAMPS) dan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 masih belum siap pada 2014.

Ketua pegawai Operasi Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Datuk Ir Lee Miang Koi berkata kini ketiga-tiga negeri berkenaan mengalami kekurangan bekalan air sebanyak 4.2 peratus iaitu 186 juta liter sehari dan dijangka terus merosot sebanyak 14 peratus iaitu 668 juta liter sehari pada 2014.

"Kawasan yang mengalami kekurangan bekalan air secara umum pada masa kini terletak di daerah Petaling Jaya, Hulu Langat, Kuala Lumpur Selatan dan Klang.

"Akibat daripada senario itu, Syabas menghadapi kesukaran dalam meningkatkan paras air di kolam-kolam simpanan di kawasan 'water stress' atau mengambil masa yang lama (melebihi 24 jam) untuk memulihkan keadaan sekiranya berlaku gangguan bekalan air," katanya pada sidang media di ibu pejabatnya di sini, hari ini.

Lee berkata, tiga skim yang diluluskan kerajaan bagi pembekalan air tambahan berjumlah 320 juta liter sehari yang dijangka siap secara berperingkat-peringkat penghujung tahun ini hingga tahun depan hanya mencukupi untuk memenuhi permintaan bagi tempoh dua tahun berdasarkan jangkaan peningkatan permintaan.

Beliau berkata, situasi pembekalan air pada masa kini bertambah rumit apabila kerajaan Selangor menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membekukan program Perbelanjaan Modal (CAPEX) termasuk Program Pengurangan Air Tanpa Hasil (NRW) dan program mengganti paip lama kecuali sebahagian kecil program yang kritikal.

"Pembekuan ini dijangka berlarutan sehingga penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya selesai sepenuhnya.

"Justeru itu, tindakan awal perlu diambil oleh pihak kerajaan (Selangor) bagi menjamin krisis air yang melibatkan 1.8 juta pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya.

Menurutnya, ketika ini, kapasiti pengeluaran air sedia ada daripada 33 Loji Rawatan Air di ketiga-tiga negeri berkenaan berjumlah 4,326 juta liter sehari manakala jumlah rezab margin hanya pada kadar 3 hingga 5 peratus bergantung kepada variasi harian.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Selangor lebih prihatin kepada kebajikan rakyat Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi mengelakkan kawasan Lembah Klang kepada risiko defisit air menjelang 2014.

"Dalam situasi sama, pengguna diharapkan dapat memahami situasi dan bekerjasama dalam menghadapi cabaran buat masa kini dengan mengamalkan penggunaan bekalan air secara berhemah bagi mengelakkan pembaziran," katanya.

Selain itu, katanya, SYABAS turut mengemaskini Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi memastikan persediaan yang rapi dilaksanakan sekiranya sebarang krisis berlaku termasuk pada musim perayaan yang bakal menjelang tiba. - BERNAMA

- Posted using BlogPress from my iPad

Post a Comment