Kesediaan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan anggota rombongannya mengambil risiko besar dengan melawat Semenanjung Gaza, Palestin minggu lalu sehingga kini masih dipertikaikan dan diperlekehkan oleh pakatan pembangkang.
Dalam lawatan itu, PM dan rombongan termasuklah Ahli Parlimen Bebas, Zulkifli Noordin dan bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin telah meluangkan masa beberapa jam untuk melihat sendiri kesan keganasan oleh rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin.
Di masa yang sama PM juga mengikrarkan kesediaan Malaysia untuk menjadi orang tengah dalam usaha meneruskan penyatuan Hamas dan Fatah demi kebaikan Palestin itu sendiri, disamping meneruskan bantuan kemanusiaan.
Nyata sekali keprihatinan PM tidak disenangi oleh juak-juak bawahan mahupun pucuk pimpinan PR, masing-masing cuba memberi perspesktif negatif sekalipun menyedari saat ini rakyat Palestin khususnya di Gaza terlalu mendambakan sokongan umat Islam untuk terus cekal menghadapi kezaliman Israel.
Tidak terkecuali sebuah blog pro PR yang sering menimbulkan isu kontroversi iaitu suarapakatanrakyat.com turut sama mengulasnya secara negatif semata-mata untuk meremehkan lawatan bersejarah pemimpin utama negara ke Palestin.
Blog itu yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Anwar Ibrahim dan cukup mengagumi karisma kepimpinan Ketua Umum PKR itu, dalam salah satu artikelnya tanpa berselindung menyifatkan lawatan Najib ke Gaza adalah satu tindakan yang memalukan negara.
Dikaitkannya kejatuhan sementara pasaran BSKL kononnya berpunca dari lawatan tersebut sekalipun hakikatnya kejatuhan tersebut hanyalah proses biasa pasaran saham yang ada tikanya naik dan turun. Tapi disebabkan busuk hati punya pasal maka dijadikanlah lawatan PM sebagai penyebabnya.
Lebih menjelikkan lagi bila mana blog tersebut juga mempertikaikan usaha Malaysia dan masyarakat antarabangsa untuk menyatukan Hamas dan Fatah sebagai usaha yang sia-sia dan tidak layak pun dilaksanakan oleh Dato' Seri Najib.
Mungkin blog itu tidak mengetahui sejarah penglibatan negara ini dalam pelbagai urusan antarabangsa yang terbukti keberkesanannya termasuklah yang terbaru mencipta sejarah penting dalam membantu menyelesaikan konflik di Filipina membabitkan MILF dengan Kerajaan Filipina.
Selain itu, tindakan penulis blog suarapakatanrakyat melabelkan Hamas sebagai pihak pengganas malah mencela tindakan Dato' Seri Najib menerima penghormatan Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Al-Aqsa, Gaza yang digelarnya sebagai universiti yang membiakkan aktiviti keganasan.
Hamas yang istiqamah berjuang melawan kezaliman Israel demi memerdekakan tanahair Palestin digelar pengganas dan Universiti yang menjadi tempat anak-anak Palestin menimba ilmu demi membangunkan negara dipanggil universiti pengganas.
Ini jelas satu penghinaan bukan sahaja terhadap Hamas yang telah sekian banyak menabur jasa menentang kekejaman Israel malah menghina seluruh rakyat Palestin.
Tapi bila difikirkan semula, sebenarnya tiada apa mahu dihairankan dengan penghinaan yang dilemparkan oleh blog itu. Pendirian yang dinukilkan itu jelas seiring dengan ikrar yang dilafazkan oleh idolanya, Anwar Ibrahim yang pernah berjanji untuk menjaga dan mempertahankan keselamatan negara Israel. Bapak borek anak rintik.
Post a Comment