
Seramai 1,888 ibu bapa hari ini memfailkan saman terhadap kerajaan 
negeri Selangor menuntut tunggakan RM1.038 juta kerana gagal memberikan 
bantuan pendidikan prasekolah kepada anak-anak mereka seperti yang 
dijanjikannya dalam manifesto Pilihan Raya Umum 2008. 
Saman difailkan Tetuan Kamarudin & Partners di Mahkamah Tinggi 
di sini hari ini bagi pihak ibu bapa di Selangor yang diketuai seorang 
suri rumah, Sarina Hashim, 35. 
Mereka menamakan kerajaan negeri Selangor yang terdiri daripada Parti 
Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP sebagai defendan pertama dan Menteri 
Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Ketua Eksekutif kerajaan 
negeri sebagai defendan kedua.
Kesemua ibu bapa itu berasal dari tujuh kawasan Parlimen 
sekitar Selangor iaitu Gombak, Ampang, Pandan, Kelana Jaya, Petaling 
Jaya Selatan, Kuala Selangor dan Tanjong Karang. 
Peguam yang mewakili plaintif, Kamarudin Ahmad selepas memfailkan 
tuntutan itu berkata manifesto itu menjanjikan untuk memberikan RM50 
sebulan kepada kanak-kanak prasekolah di Selangor, namun ia gagal 
dilaksanakan sehingga ke hari ini. 
Sarina ketika ditemui pemberita berkata, kerajaan negeri sepatutnya 
menunaikan janji dengan memberikan elaun itu kerana ia serba sedikit 
dapat membantu dua anaknya berumur lima dan enam tahun yang masih 
belajar di peringkat prasekolah. 
"Kalau ikutkan, kedua-dua anak saya ini yang belajar di Tadika Kemas
 sepatutnya mendapat bantuan prasekolah sebanyak RM35 setiap seorang 
setiap bulan," katanya yang berasal dari Gombak. 
Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Rakyat Selangor (BBRS), 
Datuk Said Anuar Said Ahmad, berkata kerajaan pakatan pembangkang 
Selangor yang mengeluarkan manifesto berhubung pemberian bantuan itu 
wajar menunaikan janji sebaik saja memenangi pilihan raya umum yang 
lalu. 
- BERNAMA                                   

Post a Comment