[ #PRU13 #GE ] Analisis Selangor Bakal TUMBANG! #IniKaliLah #BetterNation #PakatanHarapanRakyat



Seorang ahli akademik, Prof. Madya Dr. Ismail Sualman hari ini meramalkan kerajaan negeri Selangor pimpinan pakatan pembangkang akan tumbang pada pilihan raya umum 5 Mei depan ekoran "gelombang kemarahan" rakyat terhadap banyak janji yang dibuat pada pilihan raya lepas masih tidak ditunaikan.

Dr. Ismail dari Fakulti Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini berkata, masanya akan tiba tidak lama lagi bagi rakyat Selangor untuk menghukum kerajaan pakatan pembangkang melalui peti undi di atas kemungkiran janji dan kelemahan yang ketara selama lima tahun memerintah.

"Setiap pengundi ada hak untuk menyatakan kekesalan dan kekecewaan terhadap kerajaan negeri, dengan tidak lagi mengundi Pakatan Rakyat.

''Maknanya inilah hukuman yang bakal diterima oleh kerajaan negeri yang tidak menunjukkan prestasi dan tidak menunaikan janji-janji,"

"Inilah yang paling nyata sekarang. Itu sebabnya gelombang kemarahan rakyat dah ada. ''Gelombang kemarahan nak menjatuhkan kerajaan sedia ada dan balik kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dah mula bergerak," katanya dalam satu temuramah.

Sebagai contoh, beliau berkata, inilah satu-satunya kerajaan negeri yang paling banyak disaman oleh rakyatnya sendiri dalam sejarah negara, ekoran tindakan sedemikian oleh kira-kira 3,000 ibu tunggal baru-baru ini kerana kerajaan negeri gagal menunaikan janji pemberian bantuan kepada golongan itu.

Dr. Ismail berkata, kerajaan pakatan pembangkang mengamalkan dasar pilih kasih dalam pengagihan bantuan kepada ibu tunggal, suri rumah dan warga tua dengan memberi hanya kepada penyokong parti-parti mereka, berbanding apa yang dilakuklan oleh BN melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dinikmati oleh rakyat tanpa mengira parti politik mana yang mereka sokong.

"Kerajaan Selangor yang ini, tidak beri kepada ibu tunggal yang tidak menyokong parti Pakatan Rakyat. Ini satu kerajaan yang tidak adil.

''Juga bila katakan anak nak masuk ke pusat pengajian tinggi, dia akan siasat siapa keluarga dia. Kalau katakan dia keluarga orang UMNO, dia tidak akan bagi dan ini yang berlaku sebenarnya.

"Maknanya pilih bulu, pilih kasih. Bila ini berlaku saya rasa parti begini tidak akan disokong lagi kerana dia hanya berikan pada orang yang ada kepentingan sahaja,'' tegasnya.

Satu lagi contoh, menurut beliau, banyak elaun untuk suri rumah yang menjaga anak atau yang hantar anak ke tadika yang dijanjikan dalam manifesto mereka dahulu masih tidak diberi. Banyak janji yang tidak ditepati yang boleh menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat akan kalah pada pilihan raya kali ini," kata Dr. Ismail.

Beliau juga berkata memang kerajaan negeri menunaikan janji pemberian air percuma 20 meter padu pertama tetapi mereka yang tinggal di rumah-rumah pangsa atau rumah bertingkat yang kebanyakan berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak menggunakan meter secara individu sebenarnya tidak mendapat nikmat apa pun.

Dasar air percuma yang dipertikaikan kewajarannya oleh banyak pihak ini lebih menguntungkan kumpulan-kumpulan yang tidak sepatutnya mendapat air percuma seperti mereka yang tinggal di rumah-rumah mewah, tambahnya.

Dr. Ismail berpendapat apa yang berlaku di Selangor sudah tentu membuka mata pengundi bukan sahaja di negeri ini tetapi juga memberi impak kepada pengundi di seluruh Malaysia secara umumnya.

"Kerana apa yang berlaku di Selangor ini akan juga menjadi tempias kepada negeri-negeri lain. Dan sudah tentu dia akan memberi kesan implikasi kepada corak trend pengundian pada kali ini," katanya.

Beliau berkata, rakyat Selangor juga "sangat marah" kerana kerajaan negeri di samping mempolitikkan isu air, juga melakukan perkara yang sama terhadap soal pendidikan kerana pentadbiran negeri masuk campur dalam urusan Universiti Selangor (Unisel).

"Unisel ini boleh jadi bankrap kerana terlalu banyak dipolitikkan hingga soal dalaman seperti siapa jadi Naib Canselor dan sebagainya ditentukan oleh (Penasihat PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

''Unisel menurun jumlah pelajarnya, daripada begitu banyak sehingga sekarang ini dah begitu banyak berkurangan," tambahnya.

Beliau berkata, tidak dapat dinafikan akan berlaku "pertempuran sengit" di antara BN dan pakatan pembangkang pada pilihan raya umum kali ini dan Selangor akan kembali kepada pangkuan BN sekiranya BN meletakkan "winnable candidate"
atau calon-calon boleh menang yang mewakili nurani hati dan dekat dengan rakyat.

Kesimpulannya pentadbiran lima tahun pakatan pembangkang di Selangor merupakan tempoh "janji tinggal janji", sehingga manifesto yang dahulu pun tidak dianggap sebagai janji, katanya.

"Kalau sesuatu janji itu hanya tinggal janji dan tidak dilaksanakan seperti yang saya dapati dalam kajian saya, ini dah menipu rakyat." Merujuk kepada manifesto pakatan pembangkang untuk pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini, Dr Ismail berkata manifesto yang baharu lebih banyak memansuh daripada membina.

"Cuba tengok sendiri dalam manifesto baharu ini...menghapus itu, menghapus ini, dia tak cakap nak membina. Menghapus tol sebagai contoh tetapi dia nak buat tol daripada Tanah Besar sampai George Town...dia tulis situ terowong bertol tetapi dalam manifesto hapuskan tol. Yang mana satu ni? Manifesto itu dari awal-awal lagi dah menipu," katanya. - BERNAMA

Post a Comment