Krisis dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR)dilihat semakin parah dan bergolak apabila Ketua Cabang Tapah Ridzuan Bani mengumumkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Tapah sebagai calon Bebas pada pilihan raya umum ke-13.
Beliau berkata tindakan itu diambil berikutan PKR tidak mengambil kira kemahuan penduduk setempat dengan memilih calon yang tidak disukai dan tidak mempunyai peluang untuk menang.
“Penduduk setempat kurang senang dengan calon yang dipilih iaitu pemimpin Hidraf K. Vasantha Kumar…pemimpin yang dipilih seharusnya mereka yang bersih, adil dan amanah serta tidak terlibat dengan penyelewengan.
“Saya tidak pernah bertanding tetapi saya sedia untuk bertanding kali ini setelah mendapat permintaan daripada akar umbi malah saya yakin akan dapat mengalahkan calon PKR itu,” katanya kepada pemberita di pejabat PKR di Taman Bukit Hijau di sini Rabu.
Beliau turut menyuarakan kekesalan terhadap pimpinan tertinggi PKR yang menurutnya tidak mengendahkan kemahuan akar umbi selain tidak bijak meletakkan calon yang seharusnya berwibawa.
Bagi mengumpul dana sempena penamaan calon dan kempen, beliau akan menjual kenderaan pacuan empat rodanya dan mengutip derma daripada penduduk tempatan.
Barisan Nasional (BN) meletakkan Datuk M. Saravanan bagi mempertahankan kerusi Parlimen itu yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008 mengalahkan calon PKR, Tan Seng Toh dengan majoriti 3,020 undi.
Post a Comment