Dakwaan 20 Akaun Anwar Luar Negara : Liang Cuma Mahu Disiasat Kesahihannya!! #IniKaliLah


Anggota Parlimen Simpang Renggam Liang Teck Meng Rabu menegaskan tidak akan menarik balik atau memohon maaf berhubung kenyataannya di Dewan Rakyat semalam mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa memiliki 20 akaun bank yang berpangkalan di luar negara, termasuk Israel.

Beliau juga menyifatkan cadangan beberapa anggota Parlimen pembangkang untuk merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen adalah bertujuan mengalih perhatian dan menghalang kerajaan menjalankan sisasatan terhadap isu berkenaan.

Menafikan kenyataannya semalam bersifat tuduhan, Liang berkata hujah yang dikemukakan itu bertujuan mendapatkan penjelasan daripada kerajaan selain mahu siasatan terperinci dijalankan terhadap maklumat yang diperoleh dari laman web Wikileaks itu.

"Kalau meneliti hujah saya, tujuannya untuk menggesa kerajaan menjalankan siasatan apakah ada campur tangan pihak luar untuk menjatuhkan kerajaan kerana ia membahayakan negara.

"Saya hanya minta siasat, kalau tidak ada (dakwaan tidak betul), kenapa mahu merujuk saya ke jawatankuasa khas Parlimen. Usaha merujuk saya ke jawatankuasa khas jelas mahu menghalang kerajaan daripada melakukan siasatan sewajarnya," katanya yang ditemui pemberita di lobi Dewan Rakyat.

Liang ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong semalam mendedahkan anggota Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang itu memiliki 20 akaun bank yang berpangkalan di luar negara termasuk Israel dengan jumlah simpanan kira-kira RM332 juta dengan memetik maklumat daripada WikiLeaks.

Liang dalam pada itu berkata sekiranya pembangkang mahu beliau membuat permohonan maaf, mereka boleh berbuat demikian setelah siasatan terperinci mengenai maklumat itu dijalankan oleh kerajaan mendapati ia tidak benar.

Reaksi Liang itu susulan gesaan Anwar dan beberapa anggota Parlimen pembangkang hari ini yang menuntut beliau menarik balik dakwaan itu atau berdepan tindakan dihadap kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Anwar yang menyentuh isu itu awal hari ini menafikan terdapat sebarang maklumat yang mengaitkan dirinya mempunyai akaun bank Israel, disiarkan oleh laman web Wikileaks.

"(Dakwaan) yang melibatkan akaun Israel yang dikaitkan dengan saya itu tidak disebut dalam WikiLeaks. Saya sudah semak, tiada langsung laporan itu dalam WikiLeaks.

"Kalau ada pun (maklumat itu disiarkan) dalam Wikileaks, itu bukan keputusan muktamat, itu pandangan Wikileaks berdasarkan maklumat yang dikutip," katanya.

Bercakap kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat, Anwar seterusnya menuding jari terhadap blogger Umno berhubung dakwaan itu.

"Ia (dakwaan) tidak berasas. Dia kata daripada WikiLeaks, bila diperiksa ia daripada blogger Umno�. pasport pun lain, nombor pun lain dan semua lain," katanya.

Sebelum itu isu sama dibangkitkan Tian Chua (DAP-Batu) yang mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36 (9) untuk merujuk Liang ke jawatankuasa berkenaan kerana disifat telah menyalahguna keistimewaan sebagai anggota Parlimen kerana menyentuh peribadi Anwar yang tidak bersabit dengan tugasnya sebagai anggota Parlimen.

"Kalau betul pun ada sesiapa yang mempunyai akaun bank, itu tidak ada urusan dengan beliau sebagai anggota Parlimen, jadi apa yang dibawa (oleh Simpang Renggam) adalah 'abuse of privilage'," katanya.

Mengulas perkara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau akan mendapatkan penjelasan Liang mengenai dakwaan tersebut dan sekiranya anggota Parlimen Simpang Renggam itu berhasrat meneruskan dakwaan itu, usul boleh dikemukakan untuk merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

"Mungkin ini boleh dijadikan pengajaran kepada Yang Berhormat semua bahawa kalau sudah terlajak kata...sebab itu saya selalu mengingatkan," katanya.

-- BERNAMA

Post a Comment