TEWDIA: PAS Sudah Sedia Untuk Mempertahankan #SgLimau #PRKSgLimau #MalaysiaNews


Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah, Ustaz Musodak Ahmad (gambar) menjangkakan pertandingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau berlaku dalam suasana sengit dan luarbiasa memandangkan keputusannya nanti akan menjadi 'testimonial' kepada Dato' Mukhriz Mahathir yang pertama kali menghadapi pilihan raya kecil (PRK)  sebagai Menteri Besar. 

Justeru beliau yakin BN akan menggunakan apa saja cara untuk memenanginya.

"Sementara bagi PAS, Sungai Limau adalah kerusi tradisi yang mesti dipertahankan. Sejak PAS merampas kerusi tersebut dari BN melalui Ustaz Azizan pada PRU tahun 1995 hingga kini, kita tidak pernah kalah.

"Berdasarkan keputusan PRU13 lalu, Sungai Limau berada di kedudukan kedua terbaik selepas Tokai, jadi mahu tak mahu untuk PRK kali ini PAS Kedah akan pastikan bukan setakat menang mempertahankan kerusi tersebut tetapi juga mencatat keputusan lebih baik berbanding PRU13 lalu," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, ia bukanlah tugas yang mudah kerana BN tanpa rasa segan biasanya akan turun bersama jentera kerajaan sedangkan PAS turun dengan jentera parti semata-mata.

Musodak menasihatkan Mukhriz supaya mencontohi Allahyarham Ustaz Azizan dalam menghadapi PRK Bukit Selambau sewaktu menjadi Menteri Besar dahulu. 

"Beliau berjaya membuktikan bahawa Pakatan tidak menyalahgunakan  jentera ataupun peruntukan kerajaan negeri untuk menarik sokongan rakyat," katanya.

Sementara itu PAS Kedah telah membuat persiapan awal untuk menghadapi PRK Sungai Limau yang tarikhnya akan diumumkan oleh SPR dalam masa terdekat. 

Dalam PRU13 lalu Allahyarham Ustaz Azizan mempertahankan kerusi berkenaan untuk penggal kelima mengalahkan sepupunya dari BN, Fadhilah Mohd Ali dengan majoriti 2,774 undi.

Post a Comment