HUSAM : KELANTAN DITAWAN BN #PRU14 ?




Seorang Adun Pas yang juga bekas exco kanan kerajaan Kelantan hari ini membuat kejutan apabila membidas beberapa tindakan kerajaan negeri yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang dari konsep ketelusan.

Datuk Husam Musa (Pas-Salor) yang membahaskan usul Belanjawan 2014 kerajaan Kelantan antara lain membangkitkan isu pembalakan Hutan Simpan Kekal Ulu Sat di Machang dan kenaikan tarif air yang berkuat kuasa Ogos lalu.

Menyentuh isu pembalakan itu, Husam meminta kerajaan negeri tidak meluluskan permohonan sebuah syarikat untuk menebang kawasan seluas 1,400 hektar di hutan simpan berkenaan.

Tegasnya ketika Kelantan diteraju Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, satu keputusan sudah dicapai agar semua permohonan baharu di kawasan hutan simpan itu
mesti ditolak.

"Seingat saya, kata Tok Guru (Nik Abdul Aziz), Hutan Ulu Sat dan Cabang Tongkat adalah paru-paru untuk mengeluarkan udara segar dan bersih bagi penduduk
Kelantan. Biarlah ia kekal untuk anak cucu kita," kata Husam yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan.

Husam juga berkata, syarikat berkenaan bakal menerima kawasan tersebut tanpa membuat sebarang tender.

"Ia sangat meragukan sekali. Seingat saya, semasa pentadbiran YAB Tok Guru dahulu, tidak ada kawasan seluas itu diberikan kepada mana-mana individu.

Adakah hanya dengan permohanan ringkas dua muka surat, serta-merta permohonan ini akan ditimbangkan?," katanya.

Mengenai kenaikan tarif air, Husam berkata, jika Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) diurus dengan lebih amanah, kenaikan itu sepatutnya boleh dielak.

Beliau berkata AKSB sebenarnya telah gagal meningkatkan kualiti bekalan air di Kelantan walaupun beberapa loji air utama telah dinaik taraf.

Husam memberi contoh naik taraf Loji Rawatan Air Jeli bertujuan mencapai 10  juta liter (JLH) air sehari dengan kos RM21 juta, namun hanya mencapai 6.6 JLH.
  
"Naik taraf loji rawatan air Bukit Remah, Tanah Merah dengan kos RM16.4 juta bagi meningkatkan pengeluaran kepada 42 JLH tetapi pencapaian 36.6 JLH. 

"Naik taraf loji rawatan air Pintu Geng membabitkan kos RM52 juta dengan sasaran 30 JLH namun dengan kos sebesar itu hanya mengeluarkan 12.5 JLH,"
katanya.

Untuk mengurangkan kebocoran paip, AKSB membelanjakan RM130 juta setakat Julai tahun ini, namun kadar air tanpa hasil masih 52 peratus, bererti gagal
sama sekali, katanya.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila kerajaan negeri yang baharu ini menamatkan kontrak dengan kontraktor dari Korea Selatan untuk membina Lebuh Raya Rakyat yang diasaskan olehnya kira-kira dua tahun lepas.

"Kerajaan baharu tidak boleh dengan mudah memutuskan hubungan dengan kotraktor yang dikira berkebolehan yang telah dipilih lebih awal dan datang dengan cadangan baharu yang pada hemat saya meragukan," katanya.

Husam yang ditemui di luar dewan selepas itu berkata segala tegurannya adalah kerana sayangkan Kelantan dan mahu melihat negeri itu jauh lebih maju.

"Kerajaan baharu ini masih jauh lagi dan apa yang saya sebutkan ini bukanlah salah kepimpinan," katanya. - Bernama

Post a Comment