Pertikaman lidah tercetus dalam persidangan Dewan Rakyat pada Selasa apabila seorang anggota Parlimen pembangkang 'memperlekehkan' program Angkasawan Negara.
Ia bermula apabila Teo Kok Seong (DAP-Rasah) mendakwa Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohd Diah tidak menjawab soalannya berhubung kos rancangan Program Angkasawan Negara kedua nanti.
Keadaan semakin panas apabila Teo mendakwa Program Angkasawan Negara yang pertama adalah program membazirkan wang rakyat Abu Bakar 'naik angin' apabila Teo terus mempertikaikan sumbangan program itu dan menuduh angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dijadikan alat oleh Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh kempen pilihan raya umum lepas.
"Saya sudah kata (jawab), dia (Teo) tak dengar. Program Angkasawan Negara Kedua, kita dalam proses perancangan. Saya sudah jawab, rancangan ini akan mengambil kira pandangan daripada semua pihak termasuk orang awam, saintis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan industri. Perincian ini sedang dalam penelitian kerajaan dan kos misi ini akan ditentukan kelak.
"Berhubung dakwaan kata program pertama membazir, saya nak terangkan sampai habis supaya dia faham, supaya dia 'clear' (jelas). Dia tak faham misi dan hasilnya, saya nak beri dia faham," katanya. Semasa menjawab soalan asal Teo yang ingin tahu perkembangan terkini program Angkasawan Negara kedua, Abu Bakar berkata hasil daripada program angkasawan pertama dahulu yang terbahagi kepada lima segmen antaranya penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan 24 kertas kerja penyelidikan telah diterbitkan di jurnal dan persidangan antarabangsa.
"Kita juga berjaya mempatenkan lapan penyelidikan selain pembangunan modal insan melibatkan 99 orang pengkhususan saintifik. Jadi Rasah (Teo), balik nanti baca (jawapan) supaya faham, jangan nak populariti,semuanya telah memberi kebaikan kepada negara, sebab itu kita adaperancangan angkasawan kedua," katanya.
Mengenai Program Angkasawan Negara kedua, Abu Bakar berkata pada dasarnya kerajaan bersetuju untuk meneruskan program itu yang dilihat penting dalam memastikan pembangunan keupayaan negara di sektor angkasa serta bidang berkaitan sains mikrograviti dan kerjasama antarabangsa.
"Pelancaran misi kedua tertakluk kepada peluang bagi mendapatkan giliran pelancaran yang disediakan kesatuan negara-negara pelancar. Penerimaan tawaran tersebut juga bergantung kepada faktor kedudukan ekonomi negara. "Buat masa ini tarikh penghantaran angkasawan kedua belum ditetapkan," katanya.Abu Bakar berkata kerajaan sedang berusaha membangunkan penyelidikan saintifik mikrograviti dengan kerjasama agensi angkasa seperti Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA), Russian Federal Space Agency (Roscosmos) dan European Space Agency (ESA).-BERNAMA
Post a Comment