#PRKSgLimau : Jentera PAS Guna Formula TERKINI Teknik Photoshop Untuk Raih Undi!!

Pas Kedah hari ini mengaku satu daripada gambar kempen calonnya merupakan gambar palsu dan mereka sedang menyiasat bagaimana perkara itu boleh berlaku.
“Pihak kami tidak tahu bahawa gambar tersebut bukan asli dan PAS langsung tidak ada niat untuk mengadakan sesuatu yang tidak ada,” kata Pengarah Operasi Pas bagi kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau Datuk Amiruddin Hamzah dalam sidang media, dilaporkan Bernama.
Beliau mengulas penyebaran risalah kempen yang memaparkan gambar calonnya untuk PRK itu Mohd Azam Abd Samat bertemu dengan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, di pejabatnya ketika Azizan menjadi Menteri Besar Kedah.
Namun, akhbar Sinar Harian mendedahkan gambar itu sebenarnya gambar kunjungan mesra dua pemberita kanannya ke atas Allahyarham pada 25 Mei 2011 dan telah diubah suai menerusi teknik ‘photoshop’ bagi menampal wajah Mohd Azam pada wajah seorang daripada pemberita mereka.
Mengulas lanjut, Amiruddin berkata pihaknya akan meminta penjelasan daripada pereka grafik yang menghasilkan bahan kempen berkenaan.
Beliau juga mengaku lazimnya sebelum bahan kempen dicetak, pereka grafik akan menyerahkan contoh profil kepada mereka untuk diedit dan ditambah baik sebelum diserah semula bagi tujuan pencetakan.
Katanya Pas Kedah akan menarik balik risalah berkenaan dan mengeluarkan profil baharu dalam masa terdekat.
Ditanya sama ada isu itu akan menjejaskan kempen Pas, Amiruddin yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah, berkata: “Kita semua manusia biasa… yang bezanya ialah sama ada kita memang berniat untuk menipu atau terjadi di luar pengetahuan kita.”
Sinar Harian dalam laporan muka depannya hari ini menyifatkan risalah yang mengandungi foto wartawan akhbar tersebut sebagai taktik ‘desperado’ untuk mengelirukan pengundi pada PRK DUN Sungai Limau.
Laporan itu juga menyatakan Sinar Harian berasa terpanggil untuk menjelaskan mengenai foto terbabit bagi mengelakkan salah faham atau tanggapan bahawa akhbar berkenaan memihak kepada mana-mana parti politik.
Sementara itu, Ketua Biro Edisi Utara Sinar Harian Mohd Idros Mohd Ali yang merupakan seorang daripada dua pemberita kanan di dalam gambar tersebut, berkata adalah penting bagi akhbar berkenaan menjaga kredibilitinya sebagai media yang tidak menyebelahi mana-mana pihak.
“Kita nak mengekalkan kredibiliti akhbar yang sentiasa dijaga sebelum ini. Gambar ini seolah-olah memberi satu gambaran bahawa kita menyebelahi satu pihak sahaja,” katanya.
Katanya Sinar Harian menyerahkan kepada pembaca untuk menilai kenyataan yang dibuat oleh Pas hari ini.
Mynewshub membandingkan gambar asli (fakta) dengan gambar superimpose (auta) yang dilakukan Pas.
Fakta
Gambar ini diambil tiga tahun lalu ketika Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian, Muhamad Mat Yakim bersama Ketua Biro Sinar Harian Utara, Mohd Idros Mohd Ali (kanan) mengunjungi Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 25 Mei 2011 di Pejabat Menteri Besar Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Turut hadir, Penolong Ketua Biro Sinar Harian Utara, Roslinda Hashim (tidak kelihatan dalam gambar).
Kunjungan adalah sempena sesi wawancara eksklusif Sinar Harian bersama Azizan.
Auta
Gambar berkenaan diubah suai menggunakan teknik superimpose kononnya calon Pas, Mohd Azam Abdul Samat (berkopiah) bersama Mohd Idros bertemu Azizan.
Tinjauan wartawan Sinar Harian mendapati risalah mengandungi gambar yang dimanipulasikan itu turut diedarkan secara percuma di pekarangan pintu masuk Markas Induk Pas Kawasan Jerai semalam.
Sehubungan itu, Ketua Pengarang Sinar Harian membuat penafian dan penjelasan bahawa akhbar ini tidak ada kena mengena dengan risalah berkenaan.

Post a Comment