#PRKSgLimau : Retweet! Prof Dr Suhaimi Lazim Mahu Majukan Pendidikan, Modal Insan

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau Dr Ahmad Sohaimi Lazim bertekad untuk membangunkan modal insan dan pendidikan sebagai antara keutamaan yang perlu diberi perhatian untuk penduduk dalam DUN berkenaan.

Katanya dua aspek itu akan diberikan perhatian utama sekiranya beliau diberi peluang mewakili kawasan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 4 November ini.

"Saya ada pengalaman dalam bidang akademik kerana itu saya mahu tumpu kepada pendidikan. Saya lihat anak-anak sekolah rendah agak ketinggalan kerana tiada pusat pembelajaran yang terancang," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman beliau sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil DUN itu, Isnin.

Pemilihan Ahmad Sohaimi, 52, diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Pengerusi BN di Bilik Gerakan BN bagi PRK DUN Sungai Limau di Sungai Lentang, Sungai Limau di sini.

Ahmad Sohaimi berkata jika PAS masih terus menguasai DUN berkenaan, banyak program pembangunan tidak dapat dilaksanakan kerana kerajaan negeri dan Parlimen Jerai dikuasai oleh BN.

"Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Anggota Parlimen Jerai yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri) banyak perancangan tetapi usaha beliau untuk DUN Sungai Limau susah untuk dilaksanakan jika kita tak menang," katanya.

Tanpa mahu menafikan kepentingan pembangunan fizikal, beliau juga melihat pesisir pantai di Sungai Limau berpotensi dibangunkan untuk agro pelancongan.

"Pada mulanya saya takut (bertanding). Disebabkan lama dalam politik saya ambil peluang untuk tawar diri dan yakin mampu menang. Saya mahu membawa suara akar umbi ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Ahmad Sohaimi berkata beliau mahu membantu Jamil Khir mengendalikan kawasan itu dan menyifatkan idea anggota Parlimen Jerai itu untuk menubuhkan institusi latihan imam sebagai satu usaha yang baik.

"Kehadiran saya di kawasan ini bolah menambah idea Jamil Khir. Anak-anak yang tidak dapat belajar di asrama penuh boleh mendapat pembelajaran secara terancang di asrama ini," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 November ini sebagai hari pengundian PRK Dun Sungai Limau manakala 23 Okt sebagai hari penamaan calon. Kerusi DUN Sungai Limau kosong berikutan kematian Adun Sungai Limau Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas menteri besar Kedah pada 26 September lepas.

Ahmad Sohaimi yang berasal dari Kampung Titi Batu, Guar Chempedak dekat sini merupakan pensyarah kanan, Jabatan Pengajian Kemasyarakatan, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia, Sarjana Muda Sastera, Universiti Malaya dan Doktor Falsafah Sejarah Politik, Universiti Sains Malaysia.

Beliau yang berkahwin dengan Siti Bunga Ismail mempunyai enam orang anak.

Bagi jawatan politik, beliau pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Cawangan Kampung Titi Batu (1982-1990), Ketua Penerangan Pemuda Umno Yan/Jerai (1992-1995), Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Jerai (1995-1997) dan Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Jerai (1992-2016). - BERNAMA

Post a Comment