Gereja Katolik fail permohonan kebenaran untuk merayu PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH


Gereja Katolik memfailkan permohonan untuk kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang penerbitan mingguan gereja itu The Herald menggunakan kalimah "Allah" untuk merujuk kepada "God".

Benjamin Dawson, seorang daripada peguam yang mewakili gereja itu berkata, mereka memfailkan permohonan itu semalam di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan.

"Gereja mengemukakan 26 persoalan undang-undang dalam permohonan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Dawson berkata, soalan undang-undang itu membabitkan tiga perkara iaitu persoalan perlembagaan, isu pentadbiran dan sama ada mahkamah boleh membuat keputusan ke atas isu perbandingan agama.

Katanya, persoalan penting termasuk sama ada Islam, sebagai agama persekutuan, boleh mencabuli hak asasi dalam Bahagian II, Perlembagaan Persekutuan khususnya hak untuk menganut dan mengamalkan agama mereka dalam kumpulan agama minoriti.

Dawson berkata, satu lagi persoalan perlembagaan yang penting ialah sama ada negeri boleh campur tangan dalam soal hak kumpulan agama dalam mengendalikan hal ehwalnya sendiri.

Persoalan lain, katanya, ialah sama ada kekeliruan seperti didakwa oleh kumpulan agama tertentu merupakan alasan untuk membataskan hak kebebasan kumpulan agama yang lain.

Beliau berkata, persoalan mengenai undang-undang pentadbiran bertumpu ke atas kuasa Menteri Dalam Negeri iaitu sama ada keputusan Menteri Dalam Negeri atas alasan ancaman kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam dapat disemak semula oleh mahkamah.   

Persoalan lain, katanya, adalah sama ada Mahkamah Rayuan boleh melakukan penyelidikan di Internet dan membuat rumusan tertentu terhadap isu perbandingan agama.

Beliau berkata, Gereja Katolik akan menyerahkan permohonan kebenaran itu ke Jabatan Peguam Negara untuk diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri, kerajaan dan jabatan-jabatan agama negeri.

Dawson berkata, dijangka tarikh pengurusan kes akan ditetapkan dan selepas itu tarikh untuk mendengar permohonan kebenaran merayu itu pula akan ditetapkan.

Pada 14 Okt, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang Herald menggunakan kalimah "Allah" .

Mahkamah itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah "Allah".

Pada 16 Feb, 2010, Gereja Roman Katolik diketuai Archbishop Murphy Pakiam, memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, memohon antara lain, diisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang penggunaan kalimah "Allah" dalam penerbitan Herald adalah salah di sisi undang-undang.

Penerbitan mingguan itu, diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah "Allah" untuk merujuk kepada "God" dalam Herald edisi bahasa Melayu, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak.

Pada 31 Dis, 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang Herald daripada menggunakan kalimah "Allah" adalah salah di sisi undang-undang, tidak sah dan batal.

1471114_726680530692694_1566355332_n