Portal Malaysiakini.com hari ini menerbitkan satu berita berunsur fitnah dan hasutan ke atas pasukan Polis Di Raja Malaysia kononnya kaum Penan yang berdemontrasi anti Empangan Murum berhadapan dengan anggota Polis yang mabuk.
Dengan tajuk “Murum Dam: ‘Drunk police provoking Penan protesters’” dan menggunakan gambar (atas) yang menunjukkan Polis mengacukan pistol, Malaysiakini jelas ingin menyatakan kepada dunia bahawa Polis Di Raja Malaysia bersikap seperti kongsi gelap, bertindak di luar batas undang-undang dan bertugas dalam keadaan mabuk.
Hakikatnya gambar tersebut tiada kena mengena dengan dakwaan Polis bertugas dalam keadaan mabuk yang dibuat oleh peguam Abun Sui Anyit.
Abun Sui Anyit merupakan peguam kepada 200 orang kaum Penan yang tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang diterima. Seramai 1500 orang kaum Penan terbabit dengan pemindahan tersebut.
Abun Sui Anyit, peguam masyarakat itu, mendesak pihak berkuasa menyiasat dakwaan terhadap “pegawai polis mabuk” di empangan itu.
“Kami bimbangkan keselamatan masyarakat Penan jika pegawai polis mabuk dibenarkan untuk menyertai operasi di empangan, terutamanya mereka yang lengkap bersenjata.
Dalam sidang akhbar tersebut, Abun langsung tidak memberi sebarang bukti mengenai kejadian tersebut kecuali meminta dijalankan siasatan.