KEGAGALAN kerajaan memanfaatkan fungsi Jabatan Penerangan dalam menerangkan setiap dasar yang telah dan akan dilaksanakan merupakan punca rakyat tidak faham serta keliru.
Kerajaan sepatutnya menggunakan seluruh jentera jabatan itu untuk menerangkan setiap polisi secara jelas dan konsisten bagi mengelakkan kekeliruan mengenai sebarang tindakan yang bakal dilaksanakan.
Kegagalan menggunakan sepenuhnya Jabatan Penerangan yang sewajarnya sudah mencapai status pakar strategi komunikasi mengakibatkan segala penyampaian maklumat antara kerajaan dan rakyat gagal.
Keadaan diburukkan lagi apabila dasar-dasar itu dijadikan isu lalu dimanipulasi dan dipolemikkan oleh pelbagai pihak.
Inilah realiti yang berlaku apabila perubahan polisi kerajaan berhubung penurunan subsidi yang menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tidak difahami oleh rakyat.
Akibatnya isu yang mudah terus berpanjangan kerana banyak isu yang material dan bukan material tidak diperjelaskan dengan baik.
Pensyarah di Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof. Dr. Ahmad Murad Merican berkata, kelemahan kerajaan itu perlu diatasi segera dengan mengembalikan semula peranan strategik komunikasi kepada Jabatan Penerangan.
"Kemarahan rakyat berhubung pelbagai isu sejak kebelakangan ini termasuk kenaikan harga barangan dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana tidak memahami polisi kerajaan secara menyeluruh.
"Apabila isu tidak diselesaikan, ia menjadi krisis," katanya kepadalaysiaGazette ketika diminta mengulas mengenai pemahaman rakyat Malaysia mengenai polisi-polisi kerajaan termasuk isu kenaikan harga barangan.
Tambah Ahmad Murad, penjelasan mengenai polisi atau dasar kerajaan tidak sepatutnya dilakukan oleh Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara, kementerian atau agensi-agensi kerajaan.
Sebaliknya, tegas beliau, penerangan itu perlu dilakukan oleh satu unit khas seperti Jabatan Penerangan.
Sambil memberi contoh kejadian pencerobohan di Lahad Datu, Ahmad Murad berkata, pada awal kejadian situasi tidak jelas kerana terlalu banyak kenyataan dibuat tetapi apabila krisis itu diletakkan di bawah tanggungjawab Ketua Polis Sabah, kebimbangan rakyat reda.
"Keredaan itu disebabkan rakyat sentiasa mendapat maklumat terkini daripada satu sumber dan maklumat yang disampaikan jelas dan difahami," ujar beliau.
Berikutan itu, beliau berkata, kerajaan perlu menghidupkan semula peranan Jabatan Penerangan terutama membabitkan isu-isu yang berkaitan dengan kehidupan seharian.
''Pengurusan komunikasi kerajaan bukan urusan menteri kerana ia akan dilihat bias. Lagipun kalau terlalu banyak sangat yang buka mulut, kenyataan-kenyataan akan menjadi spekulasi.
"Inilah yang berlaku di Malaysia sekarang akibat kesan pengurusan strategi komunikasi yang tidak mantap," katanya.- MalaysiaGazette
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone