Gobind Singh Wajar Saman Pihak Yang Hantar “Surat Guaman”nya Pada RoS?


Saya terkejut dengan “kelembapan” perkhidmatan penghantaran yang digunakan Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo. Tak tahulah khidmat syarikat manakah yang digunakan “peguam terhebat” DAP itu hingga menyebabkan “surat guaman”nya tidak sampai-sampai ke tangan Pendaftar Pertubuhan (RoS).


Kata Gobind di dalam satu sidang akhbar, dia sudah menghantar “surat guaman”nya pada 23 Disember lalu pada RoS. Kononnya, DAP mahu mengambil tindakan pada RoS atas “kejahatan” badan bebas itu yang asyik-asyik tidak mengiktiraf pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP. Sudah dua kali dilakukan pemilihan, tapi tak lepas-lepas juga. Dia nak saman RoS!

Tapi menghairankan, surat guaman yang dimaksudkan Gobind dalam sidang akhbar itu masih tidak diterima oleh RoS. Gobind sudah periksa dengan “mat despatch”nya? Atau Gobind gunakan syarikat penghantaran ekspress? “Courier service” manakah yang dilanggan Gobind? Dihantar sejak 23 Disember 2013 masih tak sampai-sampai? Hari ini sudah 16 Januari 2014!

Gobind silap alamat, kah? Betul Gobind hantar ke alamat RoS, Pendaftar Pertubuhan? Pasti? Muktamad? Bukan Gobind hantar ke rumah “Ros” anak Pendekar Mustar? Gobind silap alamat kot?

Mustahil “surat guaman” itu tidak dihantar Gobind. Sangat mustahil lagi apabila Gobind sebagai seorang yang “telus” dan “benar-benar belaka” itu tidak bercakap benar. Saya yakin dia ada hantar “surat guaman” pada RoS. Takkanlah anak Karpal Singh yang “berintergriti” sanggup busukkan nama baik keturunan bapanya, kan?

Saya ingin mencadangkan pada Gobind supaya menyaman pihak yang dipertanggungjawab untuk menghantar “surat guaman” itu. Tidak masuk akal jika surat itu tidak tiba di tangan RoS di dalam tempoh 24 hari sejak 23 Disember yang lalu.

Mislanya, kalau saya berjalan kaki dari Perlis ke Kuala Lumpur dengan membawa “surat guaman” Gobind itu, rasanya boleh sampai dalam sekitar 14 hari saja, mungkin. Takkanlah surat dari Lembah Klang yang dihantar ke alamat di sekitarnya tidak boleh tiba dalam tempoh 2-3 hari? Mustahil!

Bukan apa, saya kasihan melihat Gobind yang setiap hari dihentam pemimpin dan ahli Pakatan Haram kerana isu “surat guaman” itu. Kata mereka, Gobind memalukan Pakatan Haram kerana tidak mampu memperjelas tentang insiden sekecil itu. Tentang “surat guaman” tak sampai pun Gobind tak mampu cerita?

Gobind sebagai anak yang baik, perlu menjaga nama baik keturunan bapanya. Kalau tercalar sedikit, mungkin Karpal sendiri tidak teragak-agak untuk memfailkan saman terhadap anaknya sendiri. Lagipun, Gobind perlu ingat pesan bapanya, “jangan main-main dengan saya”, Gobind tak ingat?

Saya ingin mengesyorkan pada Gobind supaya menggunakan perkhidmatan penghantaran yang lebih “reliable” dan terjamin. Lain kali, kalau Gobind mahu memastikan surat guamannya itu sampai ke tangan RoS, dia wajar mengambil inisiatif menghantar surat guaman itu sendiri dengan tangan. “By hand” lebih pasti dan lebih memuaskan hati.

Cuma, kalau Gobind betul-betul tidak menghantar surat guaman pada RoS disebabkan badan bebas itu tidak mengiktiraf pemilihan CEC tempohari, maka tak payahlah menjerit beritahu “saya ada hantar surat guaman pada RoS”. Mana intergriti Pengerusi Biro Undang-Undang DAP? Buat malu betullah anak Karpal Singh ini, kan?

MYKMU