Isu PKNS: Azmin 'Hentam' Syed Husin

Perbalahan antara kem Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali seakan tidak boleh diselindung lagi apabila Ahli Parlimen Gombak itu secara terbuka melepaskan kemarahannya terhadap bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali.
Perseteruan antara kedua-dua belah pihak itu semakin memuncak akhir-akhir ini apabila tarikh pemilihan parti yang dijadualkan pada Februari atau Mac semakin hampir.
Menggunakan pentas media sosial di Twitter, Mohamed Azmin dengan terang 'menghentam' veteren PKR itu supaya tidak mencampuri urusan disebalik kontroversi pemecatannya daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Langkah Syed Husin untuk membela perbuatan Menteri Besar menghukum Pengurus Besar PKNS, Datuk Othman Omar dan Setiausaha Eksekutif Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek yang dikaitkan menjadi punca berlakunya kontroversi ini ternyata tidak disenangi Mohamed Azmin.
Petikan twit antara Mohamed Azmin dan Syed Husin.
"Harap dapatkan fakta yang berasas dan tepat sebelum membuat kenyataan terbuka," tegas Mohamed Azmin menerusi akaun Twitter miliknya.
Teguran terbuka Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu sebagai jawapan balas kepada twit Syed Husin sebelum itu yang menyalahkan Othman kerana membelakangkan Abdul Khalid selaku Pengerusi PKNS.
"GM PKNS buat dua kesalahan. Pertama hantar surat tamatkan Azmin. Kedua tarik balik surat itu. Dia tiada kuasa. Dakwa pula kerajaan arah, yang dinafi SUK," tulis Syed Husin.
Tidak cukup dengan itu, menerusi twit kedua Syed Husin, beliau turut mempersoalkan kredibiliti Othman yang kini sedang berhadapan dengan siasatan dalaman berhubung isu berkenaan.
"Pengurus Besar PKNS tidak ada kuasa tetapi mempunyai keberanian untuk hantar surat pecat Azmin dan kemudian tarik balik. SUK nafi beri arahan. Apa permaian Pengurus Besar?" soalnya.
Sebelum ini penyokong Mohamed Azmin dilihat kurang senang dengan penggantungan tugas dua pegawai tinggi PKNS itu kerana mahu Abdul Khalid sendiri bertanggungjawab terhadap kontroversi pemecatan Mohamed Azmin daripada PKNS.
Perang berbalas twit antara Mohamed Azmin dan Syed Husin pernah bermula sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Mei lalu apabila Ahli Dewan Negara itu menegur Pengerusi PKR Selangor berkenaan penggunaan saluran media untuk mengkritik kepimpinan parti termasuk isu perlantikan semula Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.
Mstar