PKR Selangor bergolak lagi, kali ini pertelagahan antara Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang juga ADUN Bukit Antarabangsa berhubung pengguguran Azmin sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS ).
Perkara itu, menurut setiausahanya Amiruddin Shari (bawah) dibuat tanpa memaklumkan kepada mereka walaupun kongres tahunan parti itu pada Oktober lalu memutuskan semua lantikan politik, termasuk penggantian dan pengguguran perlu mendapat sokongan parti.
“Jadi kami mahu tahu adakah ibu pejabat (parti) dan presiden sudah diberitahu (mengenai keputusan itu)?” kata Amiruddin kepada pemberita selepas mesyuarat tiga jam perhubungan negeri di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya malam tadi.
Azmin yang bergegas untuk pulang selepas itu menolak memberi sebarang komen kepada media dan hanya mengucapkan "selamat malam" sebelum melambai dan menaiki kenderaan.
Memetik sumber, Malaysiakini pada 11 Januari melaporkan Azmin digugurkan dari jawatan ahli lembaga pengarah PKNS berikutan keputusan Khalid.
Sumber itu berkata penyingkiran itu dibuat walaupun penasihat undang-undang negeri dan PKNS menasihatkan supaya Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa, dikekalkan.