Titah baginda, pembinaan perpaduan telah melalui proses yang cukup matang dan menjadi kekuatan kepada kestabilan dan keharmonian yang dikecapi rakyat (sekarang).
"Lantaran itu beta menyeru agar isu-isu agama dan sensitiviti kaum yang berupaya menjadi ancaman, wajar dielakkan selain wajib mematuhi asas Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri.
"Dalam konteks masyarakat majmuk, sensitiviti agama khususnya Islam sebagai agama yang mendasari Persekutuan perlu dihormati," titah baginda pada istiadat menyembah tahniah dan pengurniaan darjah serta bintang kebesaran sempena keputeraan baginda ke-86, Ahad.
Titah ucapan Sultan Abdul Halim bertema 'Memahat Sejarah, Membina Negeri Yang Gagah' dibacakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah pada majlis yang berlangsung di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit, di Alor Setar.
Baginda bertitah penggunaan kalimah 'Allah' yang menjadi hak eksklusif umat Islam perlu dihormati dan dilarang penggunaannya oleh penganut agama lain.
"Kekeliruan dan kontroversi boleh dielakkan jika peruntukan undang-undang dan keputusan penghakiman dipatuhi. Inilah resmi dan amalan masyarakat majmuk yang menjadi penyumbang kestabilan dan keharmonian rakyat selama ini," titah baginda.
Sultan Abdul Halim menasihatkan umat Islam agar menolak fahaman selain pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah misalnya fahaman Syiah, agar kepentingan mereka terpelihara.
--BERNAMA