Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Zaid Ibrahim hari ini menyatakan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kajang.
Menulis dalam blognya, Zaid berkata beliau cenderung untuk menawarkan diri sebagai calon bebas kerana bertanding dalam pilihan raya itu akan membolehkannya menangani banyak isu-isu politik dan ekonomi yang dialami negara.
"Menulis blog ini (www.zaid.my) adalah menyeronokkan tetapi bagus juga untuk bercakap secara bersemuka dengan rakyat sebenar, mendengar apa yang mereka mahu katakan dan, sudah tentu, menjamu sate bersama mereka.
"Bercakap kepada pengundi Kajang juga akan menguji penerimaan beberapa idea saya, yang seterusnya boleh menjadi maklum balas yang berguna untuk pembuat dasar kita.
Zaid berkata beliau telah pun menggariskan beberapa perkara yang beliau akan suarakan dalam kempen, antaranya, pentingnya memerangi akar polarisasi kaum, usaha untuk mengekalkan keamanan dan perpaduan antara orang Islam dan bukan Islam, serta program ekonomi dan pendidikan untuk membina kemahiran.
Katanya, beliau juga akan mendapatkan penjelasan dari Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keputusan PKR berkaitan pilihan raya kecil tersebut, yang dianggap oleh sesetengah pemerhati politik sebagai membazir.
Post a Comment