DIMANA HEBATNYA EZAM SEHINGGA DILANTIK Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan ?


Apa hebatnya Ezam? - Sindir dan perli Orang UMNO

Najib Razak sebenarnya telah membuat perkiraan yang tepat dengan melantik Ezam hanya beberapa hari menjelang pembungan undi pilihanraya kecil DUN Kajang pada 23 Mac ini. Walaupun sekatan Anwar daripada bertanding adalah melalui hukuman mahkamah yang diterimanya, tetapi perlantikan Ezam ini akan terus membuatkan kepimpinan Najib dilihat dinamik, baik hati dah sentiasa ingin maju ke hadapan.

Pengundi Kajang akan sedar dan beralih secara perlahan-lahan kepada mengundi BN. Wan Azizah nampaknya tiada harapan lagi untuk menang di Kajang dan sekiranya Ezam turut berkempen bersama jawatan barunya itu, peralihan undi akan berlaku dengan lebih ketara lagi.

Perlantikan dan kehadiran Ezam akan membuatkan seluruh jentera PKR patah semangat kerana berkotak-kotak bukti mengenai rasuah dan salah laku pemimpin UMNO yang masih dalam simpannnya dan tidak didedahkan sehingga kini, turut membuatkan mereka membayangkan bahawa Ezam juga mempunyai lebih banyak kotak mengenai pemimpin PKR pula.

Akhirnya kempen untuk Wan Azizah menjadi lesu dan disertai dengan gambaran kepimpinan Najib yang terlihat dinamik itu akan membuatkan calon BN daripada MCA, Chew Mei Fun seperti sedang menunggu rahmat besar menjelang 23 Mac ini sambil sudah boleh membayangkan kedudukan sebagai ADUN Kajang akan menjadi miliknya.

Harus diingat bahawa kemenangan calon BN itu nanti bukan kerana kerja keras Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang setiap hari turun padang, bukan juga kerana kehebatan program penerangan dan pelbagai teori oleh Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan dan bukan pula kerana penerimaan pengundi terhadap kepimpinan Noh Omar selaku Pengerusi UMNO Selangor tetapi semuanya adalah kerana kebijaksanaan Najib dalam melantik Ezam itu.

Dengan kemenangan calon BN itu nanti, ia juga menolak teori bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo dan bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin atau Zam yang sebelum ini mengatakan penggantian Wan Azizah daripada Anwar yang dijatuhkan hukuman penjara akan membuat undi simpati lebih melimpah kepada Presiden PKR itu.

Kebijaksanaan Najib berserta aura yang ada pada Ezam akan memintas pendapat dua bekas pemimpin itu, lalu menjadikan teori mereka sebagai "sampah" saja.

Perlantikan Ezam, sebagaimana yang diumumkan juga, akan merancakkan lagi program-program transformasi ekonomi dan kerajaan bagi menghadapi tahun-tahun mendatang yang dipercayai lebih mencabar dan kritikal. Ini sekaligus akan menjadikan ekonomi lebih berkembang dan dapat mengurangkan hutang negara yang sudah mencecah 54 peratus daripada KDNK ketika ini.

Beserta aura dan pengalamannya sebagai Setiausaha Politik Anwar di Kementerian Kewangan suatu ketika dahulu juga, Ezam akan dapat membantu Najib dan kerajaan menangani krisis kewangan yang mungkin melanda negara sebagaimana yang sudah diberi peringatan oleh bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad semalam.

Secara mudahnya, perlantikan Ezam ini memberikan pelbagai guna dan manfaat kepada UMNO dan negara dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Kualiti dan kelebihan beliau hanya dapat dibaca dan difahami oleh Najib sahaja.

http://www.shahbudindotcom.blogspot.com/