Keputusan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersaing merebut jawatan presiden parti dengan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam pemilihan pucuk pimpinan kali ini, disifatkan strategi tersendiri menjatuhkan kredibiliti UMNO.
Dalam satu pesanan ringkas melalui laman sosial kepada Astro Awani, Anwar mengakui persaingannya dengan Presiden PKR kini, Dr Wan Azizah bukanlah perlawanan namun strategi untuk melawan UMNO.
"Tak lawan, strategi sahaja hendak melawan UMNO,'' ujarnya.
Pesanan itu menutup desas-desus perselisihan di dalam PKR yang berlaku menjelang pemilihan pucuk pimpinan PKR akan diadakan pada 25 April hingga 11 Mei depan.
Pengundian akan dimulakan di negeri Sarawak, Johor, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang pada 25 hingga 27 April depan.
Ia diikuti negeri Sabah, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis pada 2 hingga 4 Mei sementara pemilihan bagi negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan akan diadakan pada 9 hingga 11 Mei.
Pelbagai portal pro Barisan Nasional (BN) meramalkan pertandingan Anwar dan Wan Azizah adalah merupakan persaingan di antara dua kem berbeza di dalam PKR sendiri.
Ia turut dikatakan keretakan dalaman parti rentetan kisah baru pasca Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang yang dimenangi Wan Azizah Wan Ismail dengan majoriti 5,379 undi mengalahkan calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun yang juga Naib Presiden MCA.
Sementara itu, menurut sumber, persaingan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali dengan ADUN Ijok, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi jawatan Timbalan Presiden PKR bakal membuka jalan kepada siapa Menteri Besar Selangor yang seterusnya.
Jelas sumber itu lagi, siapa di antara mereka yang menang akan dimahkotakan jawatan Menteri Besar Selangor sekali gus menutup persoalan yang menghantui rakyat Selangor selama ini.
"Kalau Azmin menang, dia jadi MB, kalau Khalid, dia `maintain' jadi MB, apa yang penting memang ada dua kem berbeza di dalam PKR yang memperjuangkan tokoh masing-masing,'' ujarnya.
Sehingga hari ini, PKR mempunyai 500,001 ahli berdaftar dan Selangor, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang serta Kedah mencatat keahlian tertinggi.
Post a Comment