#PRKBukitGelugor Kempen di Kampung Melayu kecoh, selepas calon bebas, Abu Backer Sidek diejek penyokong DAP


Satu kekecohan kecil berlaku di flat Kampung Melayu, apabila calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor, Abu Backer Sidek Mohamad Zan secara kebetulan berada di tempat sama dengan calon DAP, Ramkarpal Singh memberi ceramah.

Ketika kejadian, Ramkarpal telah memberi ceramah di dewan di bawah flat itu, manakala Abu Backer Sidek pula sedang mengedar risalah kempen di tingkat 14 rumah pangsa sama.

Dari balkoni flat, Abu Backer Sidek menjerit dan menggesa kerajaan negeri supaya membela nasib masyarakat Melayu yang didakwanya diabaikan.

“Bagaimana anda boleh membiarkan orang-orang tinggal di dalam flat dengan satu bilik yang kecil?” jeritnya.

Tindakannya itu telah menarik perhatian orang ramai yang sedang mendengar ceramah, untuk keluar dan melihat apa yang berlaku.

Mereka kemudian mendesaknya turun ke bawah dan Abu Backer Sidek terpaksa menggunakan tangga, kerana lif tidak berfungsi.

Dia kemudiannya diejek sekumpulan penyokong Pakatan Rakyat (PR) yang mendakwanya biadap, kerana tidak hormat ketika memasuki kawasan orang lain.

“Turunlah kalau berani, jangan berani cakap dari atas sahaja.

“Balik Komtar bawa teksi,” jerit seorang penyokong PR dari tingkat bawah merujuk kepada kempen pilihanraya pertama Abu Backer Sidek minggu lalu, apabila dia menggunakan teksi sebagai gimik untuk membangkitkan isu teksi tidak menggunakan meter di Pulau Pinang.

Pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrol Amin Baharom yang turut hadir di ceramah itu, kemudiannya keluar dari dewan dan berjabat tangan dengan Abu Backer Sidek.

Calon bebas itu kemudiannya terus berucap mengenai nasib orang Melayu di Pulau Pinang.

Polis yang berpakaian seragam tiba di tempat kejadian tidak lama selepas itu dan meminta orang ramai bersurai.

Selepas memberikan ucapan ringkas kira-kira 10 minit, Abu Backer Sidek meninggalkan tempat berkenaan, selepas dimaklumkan penganjur ceramah mini itu tidak mempunyai permit sah.

Post a Comment