#PRKTelukIntan PAS memberi sokongan walaupun Dyana Sofya menolak hudud kerana dia memang lahir daripada DAP


Penentangan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, 27, terhadap hukum hudud tidak mengendurkan sokongan pemimpin PAS kepadanya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan. 

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, berkata sokongan PAS kepada Setiausaha Politik Penasihat DAP, Lim Kit Siang itu, adalah tanda persefahaman antara parti dalam pakatan pembangkang. 

“Tidak timbul sebarang masalah untuk PAS memberi sokongan walaupun Dyana Sofya menolak hudud kerana dia memang lahir daripada DAP. 

“Apa yang penting, persefahaman dalam pakatan perlu diperkukuhkan. Isu mengenai perkara ini (hudud) akan diuruskan dengan baik” katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon PRK Parlimen Teluk Intan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak di sini semalam. 

Beliau mengulas kenyataan Dyana Sofya yang tidak akan menyokong undang-undang hudud di Parlimen sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat. Kenyataan itu dilaporkan menerusi temu bual video siaran sebuah portal berita propembangkang kelmarin. 

Terus perjuangkan Islam 

Di sebalik sokongan itu, Salahuddin berkata, PAS masih berpegang kukuh pada prinsip parti iaitu memperjuangkan perjuangan Islam. 
“Kita (PAS) tidak pernah longgar atau lemah untuk pertahankan prinsip kita. Itu adalah pendirian PAS. 

“Jadi apa yang berlaku pada hari ini, kita hadapi dengan penuh hikmah dan bijaksana. 

“(DAP) setuju atau tidak, PAS tetap dengan pendirian memperjuangkan undang-undang syariah Islam,” katanya mengulas kenyataan Kit Siang yang dilaporkan berkata, DAP akan terus memujuk PAS supaya tidak meneruskan pelaksanaan hukum hudud. 

Sementara itu di Georgetown malam kelmarin, DAP meneruskan kempen antihudud apabila mengancam menamatkan hubungan dengan PAS, jika meneruskan hasrat melaksanakan undang-undang syariah itu. 

Terus tentang pelaksanaan hudud 

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, berkata pendirian DAP yang menentang pelaksanaan hukum hudud adalah amat jelas dan tidak berubah. 
“Kita tegas dalam hal ini dan tidak akan benarkan hudud dilaksanakan dalam negara ini. 

“Jika usul ini diteruskan dan Barisan Nasional (BN) menyokong usaha itu, ia adalah penamat kepada hubungan DAP dengan PAS,” katanya pada ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor di Kampung Hijau, Air Itam, di sini, malam kelmarin. 

Ramasamy percaya penangguhan hukum hudud oleh PAS ketika ini bersifat sementara dan DAP tidak akan membenarkan perkara itu berlaku.

Post a Comment