Ada apa dengan PAS?


Cadangan berkaitan kerajaan perpaduan baru saja dikisahkan dengan ideanya diutarakan sendiri oleh Presiden Pas, Hadi Awang di hadapan ahli-ahlinya dan diulang semula dalam sidang media yang disiarkan secara meluas selepas itu namun semalam, nadanya berlainan pula.

Tidak sampai pun seminggu ia berlalu dan ceritanya masih belum basi, cerita baru pula timbul apabila Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Mustapha Ali telah meminta semua pimpinan PAS dan pakatan pembangkang berhenti cakap mengenai hal berkenaan.

Katanya perbincangan untuk tujuan itu tidak relevan buat masa ini, sedangkan dalam ucapan Hadi Awang Sabtu lalu memberitahu bahawa ia tidak akan dilakukan dengan tergesa-gesa sebaliknya pembentukan kerajaan perpaduan melalui kerjasama dengan semua pihak termasuk UMNO dibuat atas kepentingan bagi menyelesaikan masalah dalam Negara.

Alasan yang diberikan kononnya kebanyakan pimpinan PAS tidak setuju dengan idea berkenaan. Disamping agenda mereka untuk terus berusaha memperkuatkan pakatan pembangkang dengan rakan sekutunya iaitu PAS dan DAP.

Lantaran itu, dengan menyorot kembali kepada beberapa peristiwa yang berlaku selepas cadangan pembentukan kerjasama untuk kerajaan perpaduan oleh Hadi, pastinya tindak balas negatif dibuat oleh para sekutunya.

Ini kerana mereka sedar sekiranya PAS bertindak bekerjasama dengan pihak lain termasuklah UMNO dan BN walaupun bukan atas nama membentuk pakatan sepertimana mereka sebaliknya hanya untuk tujuan memperkukuhkan kepentingan rakyat dan negara, maka yang ruginya adalah PKR dan DAP.

Sebagai pakatan pembangkang, pastinya PKR dan DAP menentang apa sahaja persefahaman dan perbincangan yang direncanakan antara PAS dengan pihak lain apatah lagi UMNO yang sememangnya menjadi bahan tohmahan dan lemparan fitnah mereka waima berkaitan kepentingan Islam dan bangsa Melayu.

Apa yang pasti, tentunya PKR dan DAP gagal menyelami maksud sebenar cadangan Hadi sekalipun bernaung di dalam pakatan yang sama biarpun ia hanya terbentuk apabila menjelangnya pilihan raya dan berkongsi kuasa berikutan tidak dapat sokongan yang cukup untuk memerintah.

Sememangnya adalah amat menghairankan apabila kenyataan yang meminta semua pihak dan pemimpin PAS menghentikan cerita berkaitan kerajaan perpaduan dibuat oleh Mustafa sedangkan relatifnya ia dilakukan oleh pihak yang mengeluarkan idea.

Lebih menghairankan lagi apabila kenyataan berkaitan dikeluarkan selepas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyatakan secara terbuka ketidakpuasan hatinya terhadap cadangan Presiden PAS.

Mungkin ada udang di sebalik batu, atau ada pihak yang lebih menguasai dalam pakatan campuran hinggakan mempunyai kuasa mutlak atas ketiga-tiga pakatan campuran PKR-PAS-DAP….

Apa pun, yang boleh disimpulkan atas apa yang berlaku…. semuanya sudah biasa, pasang perangkap dan yang terjerat adalah diri sendiri….

Post a Comment