ULAMA SOKONG UMNO : Tanda awal penyatuan MELAYU!!!

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Seramai 40 orang terdiri daripada ulama muda hari ini menyerahkan borang bagi menganggotai Umno kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penyerahan borang dilakukan di lobi Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno bermula dan turut disaksikan oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin serta anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Shahidan Kassim.

Wakil kumpulan ulama tersebut Dr Fadlan Mohd Othman, 35, berkata penyertaan mereka ke dalam Umno bertujuan untuk bekerjasama dengan parti itu dalam perkara yang berkaitan dengan keagamaan dan kerohanian.

"Banyak perbincangan telah dibuat (mengenai persetujuan untuk menyertai Umno), cuma kita berharap penyertaan ini akan dapat menyemarakkan lagi usaha- usaha keagamaan yang sedia ada dalam parti.

"Kemasukan ini bukan berlandaskan politik dan bukan bertujuan untuk melaga-lagakan mana-mana pihak. Kami optimis terhadap ruang-ruang yang boleh dilaksanakan untuk mendekati dan membina jati diri golongan muda," kata Fadlan yang juga pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia pada sidang media selepas majlis penyerahan borang itu.

Ditanya mengapa tidak memilih untuk menyertai PAS, Fadlan berkata:"Dalam PAS pun sudah banyak ulama."

Seorang lagi ulama Fathul Bari Mat Jahya, 29, berkata langkah mereka menganggotai Umno itu berikutan janji Umno untuk memastikan pihak ilmuan dapat meneruskan kerja-kerja dakwah mereka.

"Tawaran seperti ini memang dinantikan oleh sesiapa sahaja. Sebagai seorang penuntut ilmu dan pemberi ilmu memang menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat," katanya.

Beliau yang juga penasihat agama Institut Jantung Negara berkata penyertaan mereka juga membolehkan kumpulan itu memberi cadangan kepada Umno mengenai penambahbaikan program-program keagamaan yang sedia ada.

Sementara itu, Shahidan berkata kehadiran ulama-ulama itu bukan bertujuan untuk mengancam mana-mana pihak tetapi patut dilihat sebagai platform untuk membina golongan muda yang mempunyai jati diri yang positif.

"Ini sedikit sumbangan ke arah membina masa depan yang baik, mereka masuk Umno sebab diberikan ruang berdakwah yang luas dan kemasukan ulama ini bukan bertujuan untuk berlawan," katanya.

Ditanya mengenai ura-ura bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menganggotai Umno, Shahidan berkata Mohd Asri akan menyertai parti itu dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau berkata 10 lagi ulama dijangka menyerahkan borang keanggotaan Umno dalam tempoh terdekat.

-- BERNAMA


GHOSTWRITER
Alhamdulillah, inilah yang kita mahukan... Tanda-tanda awal untuk melayu kembali bersatu. Ulama BERSAMA BN. Pembangunan Kerajaan BN BERSAMA ISLAM TERBUKTI.

Post a Comment