Calon PAS kitar semula |
Selepas 20 tahun memerintah Kelantan, Pas diakui penduduk Cina Kampung Baru Galas gagal menyelesaikan tuntutan mereka berhubung soal melanjutkan pajakan tanah mereka sejak sekian lama.
Isu ini dibongkar Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong dalam satu tinjauan di kampung berkenaan pagi ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berasa kesal dengan sikap Kerajaan Kelantan yang seolah-olah hanya peka dengan hal ehwal masyarakat Cina Kampung Baru apabila menjelang musim pilihan raya sahaja dengan berjanji akan menyelesaikan masalah berkenaan demi kepentingan penduduk Kampung Baru berkenaan.
Wee berkata, rata-rata penduduk yang ditemui mengadu mereka telah lebih sepuluh tahun mengemukakan permohonan berkenaan status tanah yang telah mereka diami sejak beberapa generasi, namun hampa kerana ia gagal diselesaikan sehingga kini.
“Ada yang selepas sepuluh tahun habuk pun tak ada, tak dengar apa-apa cerita dan sentiasa diberitahu fail tebal, malahan ada yang memberitahu telah membayar RM200-RM500 secara berperingkat-peringkat.”
Wee yang kecewa dengan sikap lepas tangan kerajaan Pas Kelantan berkata isu ini harus ditangani dengan baik demi kebajikan rakyat dan tidak seharusnya dipolitikkan.
“Saya menyeru supaya Kerajaan Pas lebih prihatin tentang masalah lanjutan pajakan tanah ini untuk disambung. Ada yang sampai 2006 sehingga kini tidak tahu kedudukan permohonan mereka. Dan ia tidak sepatutnya dijadikan sebagai satu benda yang boleh mengugut pengundi.”
Lebih penting, beliau mahu masyarakat Kampung Baru tidak tersalah persepsi terhadap Kerajaan Pusat kerana isu status tanah kampung baru ini adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Kelantan.
Jelasnya, pengundi Galas perlu memahami bahawa isu ini adalah bukti kelemahan kerajaan negeri sejak 20 tahun mereka memerintah sedangkan mereka telah menduduki tanah berkenaan sejak lebih berpuluh tahun lalu.
Kepercayaan yang diberi penduduk Galas apabila memenangkan bekas calon Pas, Allahyarham Che Hashim Sulaima sewajarnya menjadi faktor penting agar mereka tidak ‘terlepas pandang’ dari perancangan Kerajaan Pas Kelantan.
Namun, kepercayaan yang diberi ternyata tidak membawa perubahan yang diharap-harapkan penduduk Galas, dan kemajuan infrastruktur serta ekonomi yang dijanjikan semasa musim Pilihanraya Umum ke -12 terbukti retorik untuk menagih undi.
Dalam lawatan sama juga, Wee berkata Pas jelas terdesak untuk mendapat sokongan masyarakat Kampung Baru apabila jentera Pas didapati mengagihkan bantuan kepada penduduk tempatan.
‘Habuan’ berbentuk barang keperluan harian termasuk barangan dapur serta bahan kempen Pas dalam tiga bahasa diagihkan termasuk kepada kediaman yang tidak berpenghuni.
Wee berkata, BN sering dipandang serong dan dituduh ‘membeli’ undi rakyat meskipun bantuan berkenaan disalurkan menerusi agensi Kerajaan,sedangkan hakikatnya kini terbukti pembangkang yang menggunakan taktik berkenaan.
“Ini satu bukti yang jelas mereka melakukan perkara ini, Kita bukan nak pertikaikan apa-apa, tapi BN sering dituduh bukan-bukan kerana sampaikan bantuan.Sudah sampai masanya kita membongkarkan topeng yang dipakai oleh Pas. Kerana hakikatnya ia dilakukan sendiri oleh jentera Pas.”
Wee turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak ianya sengaja dilakukan oleh jentera BN dan menyifatkan tuduhan berkenaan tidak masuk akal.
“Saya rasa Pas kena konsisten. Kalau nak kutuk orang, fikir baik-baik. Jangan apabila mereka lakukan itu halal, orang lain lakukan itu haram. Itu yang saya terkilan apabila saya nampak perkara ini kebetulan berlaku di depan mata saya.”Jelas Wee dalam sidang media di bilik Gerakan MCA Kampung Baru hari ini.
Justeru, Wee berkata tidak ada sebab mengapa penduduk Kampung Baru harus mengundi Pas lagi dalam PRK N.45 Galas pada 4 November depan, sebaliknya mereka harus bersedia mengundi BN demi kelangsungan masa depan generasi akan datang.
Post a Comment