Selamatkan Melayu daripada jerangkap samar perpecahan

SEJARAH telah ditulis dan akan terus ditulis beberapa kali lagi bahawa UMNO, bukan Pas, yang sebenarnya bertanggungjawab dan banyak membela nasib orang Melayu.

Pertama sekali, sejak merdeka sistem politik di negara ini dikuasai oleh orang Melayu sehingga sukar difikirkan ke mana dan di mana Pas jika bukan UMNO yang mendominasikan sistem politik negara dan memberi peluang kepada parti itu untuk bernafas.

Bahkan UMNO-lah yang mewujudkan keamanan dan kestabilan untuk membolehkan orang Cina menikmati dan menguasai ekonomi negara sehingga hampir 70 peratus berbanding tak sampai 20 peratus yang dikuasai oleh orang Melayu.

Natijahnya, tawaran kerjasama Pas dan orang Cina, khususnya DAP, tidak lain tidak bukan hanya gimik dan propaganda baru Pas untuk menguasai kerajaan dan dewan-dewan negeri dengan sekutu-sekutunya kerana dengan kudrat dan kekuatannya Pas tidak mampu berbuat demikian.

Seandainya rancangan mereka untuk memerintah secara bersama dengan PKR dan DAP berjaya, rakyat Malaysia akan menyaksikan perebutan kuasa, konflik dan kontroversi demi kontroversi di kalangan mereka pada hari pertama lagi mereka mentadbir negara.

Untuk memantapkan kerajaan gabungan ideologi Islam, PKR-isme dan chauvinisme Cina serta Buddhisme/Kristian dalam sebuah negara yang diisytiharkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai "Negara Islam", mereka terpaksa merebut kuasa untuk mempertahankan ideologi dan dasar masing-masing.

Ketika orang Melayu diancam untuk ditukar oleh Malayan Union kepada taraf 'Malayan' pada tahun 1946 dahulu, tiada pembela Melayu yang muncul menyelamatkan orang Melayu, kecuali UMNO.

Semasa Perlembagaan Persekutuan dibentuk, sekali lagi tiada golongan Melayu dapat menyelesaikannya dengan orang Cina, kecuali UMNO. Sungguhpun Pas sudah ditubuhkan pada waktu itu, parti ini (selepas 1951) gagal meyakinkan pemimpin-pemimpin UMNO, apatah lagi meyakinkan British, tentang kedudukan orang Cina di Tanah Melayu.

Berpuluh-puluh tahun selepas 1951, penyelesaian Pas terhadap orang bukan Melayu ialah "menghantar mereka pulang ke negara asal" atau, seperti kata Dr. Burhanuddin, "jadikan mereka Melayu", iaitu dengan cara menjadikan mereka orang Islam.

Hari ini Pas bukan saja menerima orang Cina dengan selesa, malah membenarkan mereka menentang Perlembagaan negara. Semasa orang Melayu hampir hilang kuasa kepada orang Cina pada tahun 1969, sekali lagi UMNO tampil ke hadapan menyelamatkan orang Melayu, termasuk Pas, daripada perkauman dan chauvinisme DAP dan orang-orang Cina yang bersekongkol dengan mereka.

Ramai pemimpin Pas hari ini beranggapan jika "Kerajaan Perpaduan dengan Barisan Nasional" ditubuhkan akan ada di antara pemimpin-pemimpin Pas yang hilang jawatan. Ini kerana perubahan yang dicetuskan oleh Pas (iaitu sekiranya ia bergabung dengan BN) parti itu mungkin perlu menyesuaikan diri dengan keadaan baru.

Tetapi ia bukan perubahan yang diledakkan oleh BN semata-mata. Namun yang pasti, perubahan ini adalah kehendak atau tuntutan dari dalam Pas sendiri yang sedar dan insaf tentang kehilangan kuasa Melayu. Pas mungkin ingin menyelaraskan jawatan-jawatan dalam parti dan kerajaan tanpa dipengaruhi oleh UMNO/BN.

Kebimbangan bahawa jawatan-jawatan yang dibayar gaji dan elaun ini akan dimanipulasi oleh UMNO sebenarnya 'spectre' atau omongan yang direka-reka oleh pemimpin-pemimpin individu Pas yang berkepentingan yang takut hilang kuasa dan elaun. Bayangkan menteri besar kerajaan yang dipimpin oleh Pas takut dan khuatir gaji dan elaunnya diberi kepada tokoh lain. Tetapi yang pasti keputusan itu bukan keputusan UMNO/BN.

Beberapa kerat pemimpin Pas yang menikmati kedudukan kewangan yang kukuh hari ini bimbang tempat mereka akan dirungkai oleh perubahan yang dicetuskan oleh perpaduan dan kerjasama BN-Pas kelak. Kebimbangan ini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh kepentingan diri, bukan kepentingan umat Melayu yang menghadapi cabaran daripada vulnerability (kerapuhan) sistem politik.

Seperti yang diketahui, pada tahun 1987 arkitek "perpecahan Melayu" tahun 1977-1978, Tan Sri Mohd. Asri Muda, Presiden Pas keempat, menyertai UMNO selepas tidak tahan dengan 'demogog-demogog' revolusi Iran yang menyelinap dalam Pas pada waktu itu.

Dengan hanya mengendurkan sedikit sikap bongkak, pseudo-fatwa, dan sentimen kepartian dan kepuakan yang berlebih-lebihan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan dapat menyelamatkan orang Melayu daripada jerangkap samar perpecahan Melayu yang menakutkan.

Faedah dan nikmat daripada perpaduan Melayu dalam saat-saat genting ini akan dinikmati bukan berpuluh tetapi beratus tahun lamanya oleh generasi akan datang.

DR. ALIAS MOHAMED
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Wartawan dan Penulis Melayu Malaysia

Post a Comment