Kira-kira 24 keluarga bekas pekerja Ladang Coalfields, Ijok di sini kesal dengan tindakan Exco kerajaan negeri, Dr. A. Xavier Jayakumar kerana mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung pampasan yang dituntut oleh mereka, bagi mendapatkan sokong
an politik.Ini kerana dakwa mereka, kenyataan Xavier bahawa pihak pemaju yang membina kawasan perumahan dan perniagaan di ladang tersebut telah bersetuju membayar pampasan RM30,000 kepada setiap keluarga adalah tidak benar. Kenyataan Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin itu disiarkan di muka surat 15, akhbar SelangorKini edisi pertama Oktober.
Menurut salah seorang penduduk yang juga bekas pekerja Ladang Coalfields, V.Chandran, 50, beliau hairan bagaimana Xavier boleh mengeluarkan kenyataan itu sedangkan kes tuntutan pampasan tersebut masih lagi dalam proses perbicaraan di mahkamah.
Beliau berkata, jika persetujuan itu benar-benar telah diperoleh, mengapa Xavier tidak datang sendiri ke ladang berjumpa dengan mereka dan keluarga yang kesemuanya terdiri daripada 110 orang bersama bukti hitam putih.
''Saya rasa Xavier hanya mahu memperbodohkan rakyat dengan mengumumkan perkara yang tidak benar sedangkan kami masih lagi di ladang ini dan hidup 'kais pagi makan pagi' kerana tidak lagi bekerja.''Sebelum ini, beliau berjanji macam-macam untuk membantu membela nasib kami tetapi apa yang sepatutnya kami dapat tidak sampai kepada kami.
''Malah, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meminta agar kami tidak keluar dari ladang selagi tidak mendapat pampasan yang sepatutnya juga tidak membantu sebagai wakil rakyat Ijok," dakwa Chandran kepada pemberita di sini hari ini.Tambahnya, bantuan bekalan air yang diminta kerana yang sedia ada telah dipotong oleh majikan kerana mereka tidak lagi bekerja juga tidak dibantu.
''Kami bernasib baik kerana bekas wakil rakyat, K. Parthiban (Penyelaras Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok) membantu mendapatkan air bersih dan beliau juga berusaha agar bekalan air dimasukkan di kawasan kampung bersebelahan.
''Jadi kami bayar pada penduduk kampung itu untuk dapat air bersih kerana selepas air dipotong kira-kira lapan bulan lalu, kami minum dan mandi air kolong," ceritanya.Seorang lagi penduduk, R.Lotan mendakwa, Xavier pernah berjanji akan membantu mendapatkan empat hektar tanah daripada pihak pengurusan ladang bagi membina rumah teres tiga bilik untuk mereka dan keluarga memandangkan mereka telah bekerja di situ sejak tiga generasi.
''Dia cakap begitu ketika perjumpaan bersama kami yang turut dihadiri pihak media pada 16 Jun 2009.''Bagaimanapun sebulan kemudian dia datang lagi kepada kami dan memberitahu tanah empat hektar itu akan digunakan untuk membina asrama, yang kita tidak tahu untuk siapa.
''Kami tidak puas hati kerana itu sepatutnya hak kami dan dia sesuka hati mengubah janjinya selepas dapat tanah," dakwanya.Ujarnya, memang ada rumah kos rendah dua bilik yang dijual dengan harga RM35,000 untuk mereka disediakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Tetapi ujarnya, rumah yang dijual itu tidak seperti yang dijanjikan dalam tuntutan mereka kepada majikan sebelum ini.''Tuntutan kami adalah rumah teres tiga bilik dengan harga yang telah dipersetujui di dalam ladang yang telah kami huni sejak tiga generasi dan itu sewajarnya diberikan oleh pihak majikan sebagai pampasan kerana kami dibayar gaji pokok hanya RM13.50 sehari selama ini," dakwanya.
*Penduduk Ladang Coalfields mengadakan protes berhubung isu pampasan yang gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri di Kuala Selangor, semalam.*
Janji tinggal janji~
Post a Comment