Apabila MSO mengajar PAS dan TGNAnya..JOM baca!!

SEBUAH berita dari Kota Bharu yang dilaporkan oleh portal parti Pas, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat cadangkan supaya pihak pemaju menamakan sebatang jalan dalam kawasan bandar baru Tunjung yang sedang dibangunkan kini sebagai nama 'Haji Cheng Ho'. Cadangan itu sebagai kenangan atas jasa-jasa laksamana Cina berkenaan yang berjaya mengadakan hubungan persahabatan, perdagangan dan menyebarkan agama Islam di Nusantara ini termasuk Kelantan.
Tidak salah kalau Kelantan mengenang ataupun menghimbau kembali akan dakwah serta jalinan perdagangan berlandaskan Islam dilakukan Cheng Ho. Kerana itu langkah kerajaan Kelantan mengadakan expo Cheng Ho baru-baru ini disokong dan merupakan satu pandangan jauh kerajaan Kelantan dalam mengembang agama Islam dan sekaligus memberi kesedaran sejarah kepada rakyat Kelantan khasnya dan rakyat Malaysia seluruhnya.

Tetapi apabila Tok Guru begitu bermurah hati untuk menamakan sebatang jalan dengan nama Cheng Ho rasanya kurang bersesuai. Kenapa kita harus begitu murah untuk memacakkan ingatan dan sejarah orang lain di negeri kita? Walhal masih banyak orang berjasa di Kelantan yang tidak dikenang sebagai sepatutnya.
Mungkin Tok Guru atau Pas Kelantan merasa jijik untuk menyebut nama Mohd Asri Muda Muhamad Nasir ataupun Ishak Lotif. Ketiga-tiga nama itu adalah bekas Menteri Besar Kelantan. Asri Muda adalah bekas presiden Pas. Nama-nama lain Amaluddin Darus, Ahmad Yatim yang merupakan orang pertama terlibat dalam penubuhan Pas di Kelantan. Tidak dapat dinafikan jasa dan bakti mereka besar terhadap pengembangan Pas Kelantan. Mereka itu semua laksana Cheng Ho Kelantan.
Sebelum tahun 1990 nama mereka adalah harum dan menjadi sanjungan. Merekalah antara orang yang bergadai bergolak untuk menghidupkan Islam (nasionalis) di Kelantan. Seharusnya jasa mereka dikenang. Kalaupun tidak mahu mengenang jasa mereka selepas mereka membuat onar - keluar parti dan masuk Umno (hanya Asri), tetapi kenanglah jasa mereka sebelum itu. Apakah salah?
Mengenang seseorang berjasa penting. Mendedahkan pengorbanan mereka juga penting. Biarlah orang muda mengetahui bagaimana perit dan pedihnya jalan dilalui mereka untuk mengolahkan sebuah perjuangan. Mungkin bagi mereka yang dianggap tidak istiqamah dengan parti, tetapi harus diingat mereka ada anak, cucu dan cicitnya. Tentu anak, cucu dan cicit mereka akan merasa bangga kalau keturunan mereka dihargai. Generasi mereka diharap akan bersama Pas.
Tak mengapa kalau Pas tidak mahu mengenangkan mereka untuk menamakan mana-mana lorong atau denai dengan nama mereka. Tetapi Pas masih ada berlambak nama-nama tersohor dan mereka yang telah menggadaikan nyawa dalam memperjuangkan Islam menerusi Pas, yang akhirnya menghembus nafas terakhir dalam Pas. Salah seorang dari mereka yang besar pengorbanan ialah Abdul Samad Gul Ahmad Miaji, ahli parlimen Pasir Mas Hulu (Rantau Panjang). Beliau syahid kerana dikapak oleh musuh.
Nama-nama lain Khidir Khatib, Muhammad Amin Yaacob, Bunyami Yaacob, Wan Jamil dan lain-lain. Apakah jasa dan budi mereka kecil untuk tidak dikenang. Rasanya elok kalau nama mereka diabadikan pada apa-apa monumen sebagai mengenang jasa dan pengorbanan mereka.
Ataupun kalau nama orang politik hanyir untuk dibadikan, masih ada nama lain yang lebih sesuai dan paten untuk diabadi dan disanjungi. Tok Kenali dan Tok Janggut adalah dua nama hebat di Kelantan. Namanya wangi bukan saja di Kelantan tetapi di seluruh Malaysia malahan disebut hingga ke segenap Nusantara.
Tok Kenali selamanya dirujuk kepada bidang agama sebagai guru tasauf terhebat di Kelantan. Manusia yang berjaya melalui mujahadah nafsu dan berjaya mencapai peringkat 'khuwah' sehingga dapat memecahkan wajahnya menjadi tujuh bayangan? Manakala Tok Janggut pula sebagai seorang penentang kolonial di Kelantan. Dia digantung songsang oleh Inggeris dan mayatnya diseret berbatu-batu.
Rasanya jasa dan budi mereka besar kepada pembangunan agama dan politik di Kelantan. Bukan tidak boleh kalau hendak menamakan mana-mana jalan dengan nama Cheng Ho, ataupun kalau ada yang memasang niat untuk mengahwini anak cicit Puteri Hang Lipo sekali pun, tetapi dahulukan dunia anak negeri. Masih ramai janda dan anak dara Kelantan yang belum disunting.
Nama Cheng Ho rasanya boleh diabadikan sebagai kenangan atas 'kedatangan' beliau ke Kelantan baru-baru ini (expo) dengan membina replika armada beliau di Pantai Cahaya Bulan (PCB). Sebuah monumen berupa replika boleh dibina di PCB untuk mengenangkan beliau. Katanya kira-kira 600 tahun lalu armada dagang dan dakwahnya pernah berlabuh di situ. Bahkan Cheng Ho didakwa sampai di Kelantan 93 tahun dulu sebelum bermukim di Melaka.
Rasanya pembinaan replika itu lebih sesuai dan afdal daripada menamakan sebatang jalan di Tunjung itu. Pada masa sama juga replika itu boleh dijadikan daya tarikan pelancong untuk mengujungi pantai berkenaan yang makin malap kerana tidak ada usaha untuk menceriakannya.
GHOSTWRITER
Akan datang mungkinkah ada lorong belakang rumah yang diberi nama Lorong Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat..hehehe.. 

Post a Comment