Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim hari ini menafikan tuduhan kononnya beliau terlibat dalam satu kes jenayah perkosaan pada 2007 dan semua dakwaan lain yang dilemparkan oleh penulis blog di Internet dan parti pembangkang terhadapnya.
"Saya menafikan sebarang tuduhan tersebut sama ada yang berkaitan tuduhan memperkosa mana-mana individu empat tahun dahulu atau lain-lain dakwaan yang dicetuskan penulis liar blog di Internet atau mana-mana entiti politik," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, tuduhan liar yang ditujukan terhadap dirinya akhir-akhir ini adalah fitnah dan pendustaan yang dahsyat.
"Saya menyatakan dengan kerelaan bahawa apa-apa laporan yang diperbuat oleh mana-mana pihak setakat ini berkaitan perkara ini wajar disiasat mengikut lunas undang-undang negara," katanya.
Rais berkata, beliau dan anggota keluarganya bersedia memberi sepenuh kerjasama dalam siasatan itu dan apa-apa keputusan siasatan rasmi itu akan diterima dan dipatuhi. - Bernama
Post a Comment