Sarawak Bumi Kenyalang punya keunikannya yang tersendiri. Sarawak adalah model terbaik kepada perlambangan Gagasan 1Malaysia. Keakraban, hubungan muhibah antara kaum dan perpaduan mantap rakyat Sarawak telah terbukti sejak sekian lama. Kerana itu Sarawak mampu dibangunkan dengan gah melalui keringat anak-anak tempatan yang cintakan kedamaian.
Khidmat Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud yang telah menjangkau 30 tahun sememangnya cukup berbaloi dalam memastikan Sarawak terus mansang. Momentum kestabilan, perpaduan dan pembangunan seimbang yang sedang digarap di bumi Sarawak ini mesti diteruskan walaupun selepas pengunduran Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, yang telah mengumumkan jangka khidmatnya sebagai Ketua Menteri selepas selesai pilihan raya Sarawak kali ke sepuluh ini.
Rakyat Sarawak harus berbangga mempunyai seorang Ketua Menteri seperti Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, yang cukup bertanggungjawab sehinggakan beliau masih sanggup bersama kepimpinan negeri yang lain berjuang untuk memastikan Barisan Nasional cemerlang dalam pilihan raya ini dan terus diberi kepercayaan oleh rakyat Sarawak untuk memimpin negeri Sarawak, walaupun ini merupakan tugasan terakhir beliau sebagai Ketua Menteri, sebelum beliau berundur untuk memberi peluang kepada kepimpinan baru memimpin negeri Sarawak. Walaupun pada dasarnya, beliau tidak perlu lagi bersengkang mata dan bersusah payah untuk turun ke padang menemui rakyat, namun kerana rasa kasih dan sifat bertanggungjawab yang dimilikinya itu, beliau tetap bersama barisan kepimpinan, demi Sarawak yang tercinta.
Sehubungan itu, rakyat dan pengundi Sarawak harus sentiasa berwaspada dan tidak mudah terjerat dengan janji dan propaganda yang ditaburkan pembangkang dalam pilihan raya kali ini. Kesimpulannya cukup mudah, jika emosi menjadi taruhan rakyat Sarawak dalam pilihan raya ini, bermakna rakyat dan para pengundi bakal berdepan dengan berbagai-bagai masalah yang tidak diundang.
Para pembangkang, terutamanya Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PKR, DAP dan PAS hanya sekadar menabur janji yang tidak mampu ditunaikan. Kerana itulah mereka digelar ‘mambok’ oleh Ketua Menteri Sarawak. Mereka datang dari luar dan bertindak memecahbelahkan semangat setia kawan dan perpaduan rakyat Sarawak. Mereka datang dengan berbagai-bagai tohmahan, namun selepas berjaya memecahbelahkan perpaduan rakyat dan selepas pilihan raya, mereka akan kembali semula ke semenanjung. Maka, akibat perpecahan itu akan terus ditanggung oleh rakyat Sarawak sehingga pilihan raya akan datang.
Berbeza dengan kehadiran pimpinan Barisan Nasional ke negeri Sarawak dalam pilihan raya ini. Kunjungan YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri serta kepimpinan Barisan Nasional yang lain adalah semata-mata untuk membantu kepimpinan Barisan Nasional di Sarawak untuk mempertahankan keharmonian dan kepimpinan sedia ada. Selain itu ia juga untuk menyalurkan berbagai-bagai peruntukan untuk kemudahan dan kesenangan rakyat dan pengundi Sarawak.
Berdasarkan kepada senario ini, maka sewajarnya rakyat dan pengundi Sarawak wajar memikirkan masa depan mereka dan memastikan keharmonian Sarawak terus kekal. Sewajarnya, merekalah yang menentukan nasib dan masa depan negeri Sarawak dan bukan pihak lain yang mempunyai kepentingan peribadi. Inilah persefahaman yang digarap dalam Gagasan 1Malaysia, aspek penerimaan dan persefahaman yang sedia terjalin wajar dikekalkan. Keharmonian mesti dikekalkan dan hanya rakyat Sarawak sahaja yang memahami kehendak dan keperluan negeri Sarawak Bumi Kenyalang.
Post a Comment