BAZAR NIK AJIS DISERANG PENCURI??




JALAN SULTAN IBRAHIM — lebih 300 peniaga di Bazar Tok Guru itu kini bimbang kejadian kes pecah masuk kedai akan berulang lagi memandangkan keadaan keselamatan yang tidak terjamin serta pembuatan binaan bazar itu sendiri yang dianggap mudah dimasuki pencuri kerana kerja pembinaan cincai demi menjimatkan kos tanpa memikirkan nasib penghuninya.

Kebimbangan itu berikutan dua peniaga di Bazar Tok Guru, Jalan Sultan Ibrahim, dekat sini kerugian ribuan ringgit apabila kedai milik mereka dipecah masuk awal pagi tadi. Peniaga batik Nor Ashikin Hussin, 40, dan peniaga barangan kemas bersadur emas (gold plated) berjenama Zhulian Wan Hasmah Wan Daud, 70, hanya menyedari kejadian itu awal pagi ini setelah dimaklumkan oleh rakan peniaga yang melihat pintu besi kedai kedua-dua mangsa terkopak.

“Saya kerugian sebanyak RM15,000 apabila pelbagai jenis pakaian batik telah dicuri dari kedai saya, sementara Wan Hasmah, yang telah berniaga sejak 40 tahun lepas mendakwa beliau kerugian kira-kira RM18,000 apabila pelbagai barangan kemas saduran emas seperti rantai dan gelang Zhulian turut dicuri,” katanya kepada Khabar KB.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Azham Othman memberitahu Bernama pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian itu dan pihaknya sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Beliau berharap pemilik kedai di bazar itu dapat mempertingkatkan keselamatan dan pihak polis akan mebuat rondaan yang lebih kerap di kawasan tersebut.

Sementara itu Nor Ashikin memberitahu pemberita bahawa beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu semasa bangun sahur, kira-kira pukul 5.30 pagi tadi melalui panggilan telefon oleh salah seorang rakannya. Beliau yang berniaga pakaian batik sejak lebih 20 tahun lalu berkata ini adalah kali pertama barangan beliau dicuri dan beliau baru sahaja sebulan berpindah ke bazar itu dari berniaga di Pasar Besar Lama Arked Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB).

” Sistem keselamatan di sini sungguh longgar dengan pintu besi yang lembut mudah dikopak,” katanya yang percaya kejadian itu berlaku antara pukul 3 sehingga 5 pagi tadi.
Disebabkan insiden itu beberapa peniaga bimbang berikutan kelemahan kerajaan Pas Kelantan terburu-buru membina Bazar Tok Guru itu sehingga menjejaskan kualiti binaan lot kedai dan mudah dicerobohi pencuri.

Peniaga pakaian wanita, Lim Siew Ching (She), 50, yang juga telah menjalankan perniagaan sejak 20 tahun lalu berharap pihak pengurusan bazar itu dapat menambah pengawal keselamatan di bazar itu.

Bagi Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Besar Lama Arked MPKB, Ab Salim Ahmad berharapkan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) mengambil tindakan segera meletakkan sistem keselamatan yang lebih baik bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

“Kita sedih dengan kejadian ini, kita sedang dalam persiapan menyambut Aidilfitri, peniaga pula ditimpa kerugian apatah lagi ia (kejadian) tidak pernah berlaku sepanjang mereka (peniaga) berpuluh-puluh tahun.  ”Justeru kita meminta PMBK agar mencari jalan segera dengan menambah jumlah pengawal keselamatan yang kini hanya seorang dan mungkin juga boleh meletakkan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di beberapa bahagian bazar ini,” katanya.
–KHABAR KB


Read more: http://www.khabarkotabharu.com/akibat-kerja-cincai-bina-bazar-tok-guru-harta-peniaga-dicuri/#ixzz1UgSEKwwT

Post a Comment