Proses penamaan calon bermula dengan calon menyerahkan kertas pencalonan masing-masing untuk merebut 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU13, 5 Mei ini.
Pegawai pengurus pilihan raya kemudiannya akan menyemak setiap kertas penamaan yang diterima dan akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding sebaik semua urusan semakan selesai.
Untuk PRU13, buat pertama kalinya tidak ada lagi tempoh bantahan selama sejam dan penarikan balik pencalonan, sesuai dengan peraturan 9, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 (Pindaan)(No.2) 2012 yang berkuat kuasa 27 April 2012.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 5 Mei sebagai tarikh pengundian, dengan calon mempunyai tempoh 15 hari untuk berkempen, bermula esok selepas proses penamaan calon.
Pusat-pusat penamaan calon kebanyakannya ditetapkan di Pejabat-Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran, Majlis Daerah, Dewan Orang Ramai dan bangunan sekolah.
Bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan semua calon supaya datang awal ke pusat penamaan calon masing-masing.
Selain memastikan semua borang diisi dengan lengkap, calon juga dinasihatkan meneliti syarat-syarat kelayakan menjadi calon seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 47 dan Perkara 48 (1) Perlembagaan Persekutuan.
SPR turut mengingatkan calon supaya tidak membawa terlalu ramai penyokong bagi mengelak berlaku insiden provokasi, selain tidak dibenarkan membawa sebarang alat muzik atau pembesar suara.
Pemimpin parti politik, calon, penyokong parti, badan bukan kerajaan dan orang ramai juga diingatkan supaya mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh SPR dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
--BERNAMA
Post a Comment