Menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata pelantikan setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail sebagai pegawai perhubungan politik kerajaan Selangor adalah untuk membantu pembangunan luar bandar.
Bagaimanapun, fungsi sebenar Saifuddin dalam pentadbiran negeri itu hanya akan dipastikan dalam satu pertemuan dengan pemimpin PKR.
Beliau juga enggan menjawab kritikan yang disuarakan pengerusi PKR negeri Azmin Ali berhubung pelantikan Saifuddin.
"Kami rasa kami perlu menghargai orang yang berbakat dan mampu membantu kita menunaikan manifesto," katanya dalam satu sidang media selepas mesyuarat exco pertama penggal ini di Shah Alam.
Azmin sebelum ini mempersoalkan pelantikan Saifuddin – yang tewas di kerusi parlimen Kulim-Bandar Baharu – ke jawatan tersebut, dan melangkaui pemimpin PKR Selangor lain.
Azmin mendakwa pelantikan itu tidak pernah dibincangkan di kalangan pemimpin PKR negeri dalam pertemuan sebelum ini.
Pembangunan luar bandar kini berada bawah seliaan Sallehin Mukhyi yang mengetuai portfolio hal ehwal Islam, pemodenan pertanian dan pembangunan desa.
Post a Comment