Live Updated PRK #KualaBesut : Gambar Suasana PERAYAAN PEMILIHAN "TOK WAKIL"

Langsung dari Kuala Besut bermula hari ini, hinggalah hari 'perayaan pemilihan tok wakil' Kuala Besut, aku akan updated situasi semasa proses meraih undi, pembuangan undi dan keputusan semasa 24 Julai 2013 ini. Untuk hari pertama, inilah bingkisan yang sempat aku kongsikan untuk semua. Calon BN,  Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman sedang sibuk berjumpa pengundi sekitar Bukit Puteri sebentar tadi. 



 Dan ini pula suasana pada hari ketiga proses meraih undi yang bakal berlangsung sehingga jam 12 tengah malam 23 Julai ini.





Kuala Besut adalah merupakan sebuah daerah yang terletak di bahagian utara negeri Terengganu dan bersempadan dengan negeri Kelantan pada bahagian barat. Jarak daerah ini daripada ibu negeri iaitu Kuala Terengganu adalah sekitar seratus kilometer dan kebiasaannya mengambil masa tiga jam perjalanan dengan menaiki kereta. Seperti Kelantan yang memiliki Tok Bali sebagai lokasi popular pendaratan ikan, Kuala Besut juga tiada kurangnya. Boleh dikatakan bahawa aktiviti penangkapan ikan telah menjadi kegiatan utama penduduk daerah ini. Hampir 85 peratus daripada tujuh belas ribu penduduk Kuala Besut bekerja sebagai nelayan pantai. Selebihnya menjalankan aktiviti ekonomi kampung lain seperti bertani dan menternak. Oleh kerana kedudukannya terletak di bahagian pantai, maka Kuala Besut juga menjadi lokasi yang menempatkan jeti ke pulau-pulau peranginan berdekatan seperti Pulau Perhentian, Pulau Kapas serta Pulau Redang.

Dari sudut latar budaya masyarakat, dapat dikatakan bahawa hampir keseluruhan daripada masyarakat yang menempati daerah Kuala Besut dan daerah lain sekitarnya bertutur dalam loghat Kelantan. Persamaan loghat yang dimiliki ini menjadikan mereka lebih selesa apabila bertutur dengan orang Kelantan berbanding dengan orang Terengganu sendiri. Malah disebabkan oleh loghat harian yang lebih pekat kearah Kelantan, maka terdapat juga sesetangah daripada mereka tidak merasa ada pertalian dengan masyarakat yang menempati bahagian-bahagian lain negeri Terengganu. Rasa sebahagian daripada darah dan budaya Kelantan adalah lebih mendahului. Dengan bahasa lain, bau budu Kelantan lebih kuat daripada bau nasi dagang dalam diri mereka. 

Rasa pertalian rapat orang Besut dengan saudaranya di sebelah Kelantan tidak semata-mata diperketat oleh bahasa dan dialek, tetapi turut diikat oleh faktor lain juga. Dari sudut ekonomi misalnya, disebabkan oleh faktor geografi mereka yang lebih dekat dengan bandar-bandar dan pekan-pekan utama Kelantan, maka kebanyakan aktiviti ekonomi penduduk Besut berlaku secara dua hala dengan Kelantan. Orang Besut lebih mudah untuk ke pekan Pasir Puteh atau ke Kota Bharu misalnya untuk sebarang urusan harian kerana jarak yang dekat ditambah dengan kemudahan-kemudahan asas yang tersedia dengan lengkap. Sebaliknya, kedudukan Besut yang sedikit jauh dengan pusat ekonomi di Kuala Terengganu menyebabkan hubungan kedua-dua daerah ini kurang aktif.


Berakar daripada faktor geografi yang bersebelahan dan budaya yang kurang lebih sama diamalkan, akhirnya wujud slogan popular yang dicipta oleh orang Besut bagi menggambarkan diri mereka iaitu "Anok Teganung, Klate Pergho" atau "Anak Terengganu, Kelantan Pelihara". Anak Terengganu yang membawa maksud dijaga secara politik oleh Terengganu, namun dipelihara oleh Kelantan dalam aspek budaya. Malah tidak sedikit daripada anak-anak muda Besut jika diperhatikan menamakan daerah mereka sebagai "Republic of Besut". Ia seakan-akan bermaksud, bahawa daerah Besut merupakan sebuah wilayah yang berautonomi dan bukanlah sebahagian daripada Terengganu. Perasaan ini setidak-tidaknya akan memisahkan lagi diri mereka daripada Terengganu dan dalam masa yang sama menjadikan mereka lebih merasa sebahagian daripada masyarakat dan budaya Kelantan.

Post a Comment