#Bajet2014: Bantuan yuran taska RM250 sebulan


Ibu bapa berpendapatan bulanan tidak melebihi RM900 yang menghantar anak-anak ke taska swasta yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menerima bantuan yuran taska sebanyak RM250 sebulan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat hari ini, Najib, juga Menteri Kewangan, berkata langkah itu dapat memanfaatkan seramai 3,334 kanak-kanak di bawah usia empat tahun dengan peruntukan RM15 juta.

Beliau berkata kerajaan juga akan menaikkan kelayakan pendapatan isi rumah bulanan penjawat awam daripada RM3,000 kepada RM5,000 untuk mendapat subsidi yuran taska sektor awam berjumlah RM180 sebulan bagi meringankan kos yuran taska.

Beliau berkata kerajaan juga akan menaikkan kadar wang saku kanak-kanak di institusi JKM daripada RM1.50 kepada RM3 sehari bagi kanak-kanak yang bersekolah dan kenaikan daripada 50 sen kepada RM1 sehari bagi kanak-kanak yang tidak bersekolah.

"Langkah ini dapat memanfaatkan 4,500 kanak-kanak di institusi JKM di seluruh negara," katanya.

Di samping itu, Najib berkata kadar wang saku warga emas juga akan dinaikkan daripada RM10 kepada RM30 sebulan untuk menampung keperluan belanja harian penghuni JKM.

Bagi meneruskan program pembangunan wanita dan institusi kekeluargaan, beliau berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diperuntukkan sebanyak RM2.2 bilion bagi melaksanakan pelbagai program.

Antaranya penubuhan Akademi Inovasi Wanita di bawah naungan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) yang akan merangka program kepimpinan, keusahawanan dan inovasi untuk golongan wanita.

Selain itu, katanya, kerajaan akan melaksanakan Program Pengarah Wanita untuk diketengahkan sebagai Anggota Lembaga Pengarah syarikat, program keusahawanan Purple DNA seperti ’Purple Licious’ iaitu kiosk makanan bergerak dan menambah 23 Pusat Aktiviti Warga Emas di seluruh negara.

Najib berkata sebagai tambahan kepada perkhidmatan suntikan imunisasi Human Papilloma Virus (HPV) dan pemeriksaan ujian mamogram sedia ada, kerajaan mencadangkan pemberian percuma alat bantuan sokongan ’prosthesis’ luaran payudara dan coli khas kepada pesakit kanser payudara.

Beliau berkata bantuan ini dapat meringankan kos membeli alatan tersebut yang dianggarkan sekitar RM1,200 dan ia akan memanfaatkan lebih 8,000 pesakit kanser payudara dengan peruntukan berjumlah RM9 juta.

"Saya juga ingin memaklumkan bahawa kerajaan akan menambah empat buah bas khas untuk pelaksanaan Pusat Keluarga Bergerak bagi memberi khidmat nasihat berkaitan kekeluargaan, penjagaan makanan, pemeriksaan penyakit kronik serta ujian glukosa dan kolestrol," katanya. - BERNAMA

Post a Comment