#PRKSgLimau : Jenaka Mat Sabu – Saya Bukan Syiah, Tapi Ikut Sistem Syiah



Sememangnya, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau Mat Sabu mengakui dirinya bukan menganuti fahaman Syiah sejak namanya dikaitkan dengan penyebaran Syiah di Malaysia sejak akhir-akhir ini.

Namun, Mat Sabu mengeluarkan kenyataan beliau hanya mengikut dan mengaplikasikan sistem yang diamalkan dalam Syiah serta nilai-nilai yang menjadi pegangan Syiah untuk membangunkan pendirian umat Islam dan mentadbir parti PAS.

Sebagai contoh, Mat Sabu sebagai salah seorang pemberi idea penubuhan Unit Amal dalam PAS yang dibuat sempena susunan sistem pemerintahan yang diamalkan dalam Syiah.

Beliau dan rakan-rakannyalah yang membawa konsep kepimpinan ulama, Unit Amal bahkan lagu Unit Amal dari Iran ke dalam PAS yang sehingga kini masih lagi diamalkan.

Sekitar tahun 1978, ketika Mat Sabu melawat Iran, beliau memberitahu tertarik dengan sebuah gerakan sukarela di sana yang diberi nama ‘Jihad Sizendagi’ yang diperjuangkan oleh golongan muda Syiah.

“Bila kita balik, kami ambil semangat itu maka tertubuhlah Unit Amal, bahkan lagu Unit Amal adalah inspirasi dari lagu itu yang dinyanyikan oleh anak muda di sana,” kata Mat Sabu.

Selain itu, Mat Sabu menegaskan, beliau sebagai ahli PAS menyeru orang ramai mengamalkan sistem yang ada dalam Syiah.

Iaitu, mengajak rakyat menumbangkan satu regim yang zalim.

“Kita tidak pun menyeru orang mengambil syiahnya tetapi mengambil sistem, cara dan bagaimana mereka boleh gerakkan rakyat menumbangkan satu regim yang zalim,” katanya.

Persoalannya, apakah kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini bertindak zalim kepada rakyatnya? Hinggakan perlu Mat Sabu menanam satu ideologi dalam minda masyarakat Malaysia menentang pemimpin yang tidak bersikap kejam kepada rakyat?

Dari apa yang Mat Sabu katakan, ini menunjukkan Mat Sabu menjadikan Syiah seperti katanya, sistem dan nilai sebagai contoh atau landasan untuk beliau memimpin parti PAS.

Lebih teruk lagi, Mat Sabu mahukan sistem dan nilai dalam Syiah menjadi ikutan oleh umat Islam di Malaysia ini.

Kenyataan Mat Sabu ini ternyata menyimpang jauh dari apa yang seharusnya seorang umat Islam yang beriman yang harus dilakukan.

Ini kerana, sebagai umat Islam dan menjadi pemimpin untuk mentadbir dan membangunkan negara Islam, Mat Sabu seharusnya menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan. Dan bukanlah sistem yang diamalkan oleh Syiah di Iran.

Bagi kaum Muslimin, keutamaan kepercayaan ialah Aqidah Islam dan sumbernya bersifat Rabbani. Sistem kepercayaan yang berdasarkan kepada sumber Rabbani yang sahih inilah yang membezakan di antara Islam dengan sistem-sistem keagamaan dan ideologi-ideologi yang ada di dunia.

Pegangan dan sumber ini jugalah yang membezakan di antara orang-orang yang beriman dengan golongan-golongan kafir.

Malah, identiti dan keperibadian muslim yang sebenar adalah terletak kepada sejauh mana kita membezakan diri daripada golongan-golongan kafir dengan hanya berpegang kepada sumber yang sahih ini, yakni Al-Quran dan Sunnah.

Allah S.W.T mewajibkan manusia untuk mengabdikan diri kepadaNya kerana itulah tujuan manusia dijadikan oleh Allah. Oleh yang demikian itu Allah S.W.T telah mewajibkan juga manusia berpegang kepada hidayah dan panduan yang diturunkan olehNya di dalam Al-Quran dan Sunnah.Seperti mana firman Allah S.W.T dalam surah Al-Nisa ayat 136;

“Hai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan dengan Kitab yang Allah turunkan kepada Rasul-Nya, serta kitab yang Allah turunkan sebelumnya. Barangsiapa yang kafir kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, dan hari kemudian, maka sesungguhnya orang itu telah sesat sejauh-jauhnya”.

Jadi, fikirkanlah apakah betul buat Mat Sabu menjadikan sistem dan nilai dalam Syiah sebagai panduan dalam hidup dan kepimpinan beliau.

Kewajipan menjadikan Al-Quran sebagai pegangan hidup adalah demi keselamatan manusia sendiri. Dengan Al-Quran manusia terhindar dari azab Allah S.W.T dan dengan kitab ini juga manusia terhindar dari kekosongan hidup yang menyebabkan mereka mengikut sesuatu yang mereka tidak ketahui.

Di mana kesemuanya selain dari hidayah Allah S.W.T itu tidak menambahkan selain daripada kesesatan dan kehancuran. Firman Allah yang mafhumnya:

“Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain dariNya.” (AI-A’raf: 3)

Jangan hanya kerana mahu berpolitik dengan ekstrim, kita membenarkan apa yang tidak benar seperti yang Mat Sabu lakukan. 


Post a Comment