PAS Kelantan Cadang Husam Pengganti Nik Aziz Sebagai #PesuruhjayaPASKelantan ?


Kempen untuk membolehkan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan mulai berjalan selepas beliau menang sebagai naib presiden.

Antara yang memberi cadangan ialah calon Ketua Pemuda PAS, Zulhazmi Sharif.

Zulhazmi mencadangkan agar Husam dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan yang baru.

Beliau memberikan tiga sebab untuk cadangannya itu iaitu menjadi pengimbang tara untuk memastikan setiap tindakan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan mengikut dasar parti.

"PAS negeri bertindak sebagai Jawatankuasa Pemandu bagi pentadbiran kerajaan sesuai dengan konsep parti memerintah," katanya.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah Pesuruhjaya PAS Kelantan pada masa ini.

Ramai pihak mencadangkan Nik Aziz melepaskan jawatannya sebagai pesuruhjaya dan mengekalkan Mursyidul Am sahaja berikutan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Kelantan mempunyai tiga timbalan pesuruhjaya.

Husam adalah Timbalan Pesuruhjaya II manakala Menteri Besar Kelantan adalah Timbalan Pesuruhjaya I dan Datuk Nik Mohd Amar yang kalah dalam usahanya untuk mendapatkan jawatan timbalan presiden PAS adalah Timbalan Pesuruhjaya III.

Zulhazmi berkata, beliau menyokong kenyataan Ketua Pemuda PAS yang baru Suhaizan Kaiat yang  mahu menjadikan Dewan Pemuda Pas Pusat sebagai pengimbang tara kepada parti dan kerajaan.

"Maka atas hasrat tersebut saya mencadangkan Dewan Pemuda PAS Pusat mendesak PAS Pusat untuk melantik Datuk Husam Musa sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan atas beberapa faktor," kata Zulhazmi dalam Facebooknya.